Kerja mengapit semula paip Sungai Perai capai 80 peratus - PBAPP

Para penyelam sedang bertungkus lumus menjalankan kerja bagi menyiapkan Pelan A seperti yang dijadualkan.
Foto Facebook PBAPP
Para penyelam sedang bertungkus lumus menjalankan kerja bagi menyiapkan Pelan A seperti yang dijadualkan. Foto Facebook PBAPP
A
A
A

BUTTERWORTH - Kerja-kerja mengapit semula paip di dasar Sungai Perai yang mengalami kebocoran sebelum ini telah mencapai 80 peratus.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam kenyataannya berkata, semua kepingan pengapit telah diletakkan pada kedudukan yang diperlukan untuk menutup lubang 1.15 x 0.65 meter (m) pada saluran paip.

"Perkembangan kerja bagi pelan tindakan kecemasan (Pelan A) sehingga jam 4 petang ini mencapai 80 peratus siap.

"Para penyelam kini sedang bertungkus lumus mengejar masa untuk memasang semua pengapit di kedudukannya.

"Jangka masa untuk mengunci dan menyemak semua bolt ialah antara 5 hingga 7 setengah jam," katanya pada Jumaat.

Kata PBAPP, gangguan bekalan air berjadual (SWSI) untuk melaksanakan kerja pengalihan Pelan B pula dijadualkan pada jam 11.30 malam, Isnin ini.

"SWSI untuk melaksanakan Pelan B telah dijadualkan pada malam Isnin iaitu selepas bekalan air dipulihkan sepenuhnya di bawah Pelan A.

"Ini bermakna, 120,000 pengguna yang terjejas mempunyai masa antara tempoh 24 hingga 48 jam untuk mengisi tangki simpanan mereka sebelum penutupan saluran paip bagi membolehkan pelaksanaan kerja-kerja lencongan paip dalam Pelan B," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada awal pagi Jumaat, PBAPP melaporkan Pelan A yang sedang dilaksanakan di Sungai Perai yang sepatutnya siap pada Jumaat mengalami kelewatan berikutan hujan lebat dan arus bawah air yang deras.

PBAPP berkata, susulan daripada itu, penyelam tidak dapat menyelesaikan kerja seperti yang dijadualkan.

Menurut PBAPP, pada jam 2 pagi Jumaat, pasukan baru yang terdiri daripada 10 penyelam mengambil alih kerja-kerja berkenaan daripada pasukan asal.

Sebelum ini, PBAPP memaklumkan bahawa Pelan A membabitkan kerja-kerja mengepit semula kebocoran lubang seluas 1.05 x 0.65m pada bahagian saluran paip 1,350mm di dasar Sungai Perai.

Pelan B pula membabitkan pemasangan dua paip baharu berukuran 600 milimeter (mm) bagi menggantikan paip sedia ada.

Kedua-dua Pelan A dan Pelan B kini sedang dilaksanakan serentak di tapak dekat Sungai Perai.