Ahmad Zulqarnain dilantik CEO KWSP baharu

Ahmad Zulqarnain
Ahmad Zulqarnain
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melantik Ahmad Zulqarnain Onn sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi tersebut berkuatkuasa 19 Februari depan.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, Ahmad Zulqarnain, yang menerajui Permodalan Nasional Bhd (PNB) sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan akan menggantikan Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang telah dilantik sebagai Menteri Kewangan II selepas mengetuai KWSP sejak 1 Mac 2021.

Beliau berkata, dengan pengalaman korporatnya yang luas, kepimpinan Ahmad Zulqarnain yang dinamik bakal memacu KWSP ke tahap baharu.

Katanya, seluruh pasukan KWSP akan memastikan peralihan yang lancar dan meletakkan keyakinan penuh terhadap kepimpinan dan hala tuju strategik Ahmad Zulqarnain dalam memenuhi misi KWSP bagi melindungi masa depan persaraan dan kesejahteraan 15.9 juta ahli KWSP.

"KWSP mengalu-alukan dan mengucapkan tahniah kepada Ahmad Zulqarnain atas pelantikan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWSP yang baharu.

"Kita turut turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Senator Datuk Seri Amir Hamzah di atas khidmatnya dalam melakar hala tuju kejayaan agensi," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ahmad Zulqarnain mempunyai pengalaman korporat yang luas serta memegang beberapa jawatan penting dalam institusi seperti CEO Danajamin Nasional Berhad selain Timbalan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Harvard.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Lembaga Pengarah Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan peletakan jawatan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Ahmad Zulqarnain Onn berkuat kuasa pada 16 Februari depan.

PNB dalam satu kenyataan berkata, Ahmad Zulqarnain selepas ini akan menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas tiga tahun berkhidmat dengan PNB.

Menurut kenyataan itu, sepanjang perkhidmatan sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, beliau memainkan peranan penting dalam memajukan mandat PNB, mencatat pencapaian penting perniagaan dan dalam memupuk inovasi.

"Beliau amat berdedikasi dalam mengukuhkan kepercayaan negara terhadap PNB dan memperbaharui matlamat menyeluruh organisasi iaitu mengukuh kedudukan kewangan rakyat serta merentas generasi," katanya pada Jumaat.

Arshad
Arshad

Dalam pada itu, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Arshad Raja Tun Uda turut melahirkan penghargaan kepada Ahmad Zulqarnain yang akan meninggalkan PNB.

"Bagi pihak Lembaga Pengarah, pengurusan dan kakitangan di PNB,saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Zulqarnain atas sumbangannya yang tidak ternilai kepada PNB, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan kumpulan syarikat PNB sepanjang tempoh perkhidmatan beliau di sini.

"Kepimpinan beliau telah memainkan peranan penting dalam menyusun pelan dan mengemudi PNB. Kami mendoakan yang terbaik dalam peranan baharunya,” jelasnya.

PNB turut memaklumkan pengumuman Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan baharu untuk kumpulan tersebut akan dibuat dalam masa terdekat.