Tindakan Muhyiddin 'u-turn' lemahkan moral ahli Bersatu - Syed Abu Hussin

Syed Abu Hussin Hafiz ketika sidang akhbar di Baitul Husna, Puchong pada Jumaat.
Syed Abu Hussin Hafiz ketika sidang akhbar di Baitul Husna, Puchong pada Jumaat.
A
A
A

PUCHONG - Tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membuat pusingan U ketika Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini didakwa melemahkan moral ahli yang mahu melihat parti itu melaksanakan perubahan.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, lebih mengecewakan lagi apabila Ahli Parlimen Pagoh itu sendiri memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas mendapat nasihat isterinya.

"U-turn sebab apa? Ini keputusan besar (berkaitan) hala tuju parti, nak bawa ahli-ahli Parlimen membina masa depan negara, tetapi seorang presiden boleh buat u-turn dengan mudah.

"Keputusan seorang pemimpin sebuah parti yang sedang berhadapan pelbagai cabaran sangat penting. Jadi ia telah 'demoralize' (lemahkan moral) sebahagian pemimpin," katanya pada sidang akhbar di Baitul Husna dekat sini pada Jumaat.

Pada November tahun lalu, Presiden Bersatu itu mengejutkan orang ramai apabila mengumumkan tidak akan bertanding pada pemilihan parti akan datang, namun menarik balik keputusan itu keesokan harinya selepas 'dipujuk' Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Syed Abu Hussin Hafiz turut mendedahkan, Bersatu kini terbahagi kepada dua kumpulan iaitu ‘Kem Presiden’ dan ‘Kem Setiausaha Agung’.

Beliau berkata, kewujudan kem berlaku susulan tindakan bekas Perdana Menteri itu sendiri selain ramai ahli yang mahukan Datuk Seri Hamzah Zainuddin menerajui parti.

"Saya tidak mahu mengesahkan (ada kem dalam Bersatu) tetapi memang ada. Dalam parti politik biasa memang ada (kem),” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu turut mendakwa, Pas yang juga rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) tidak akan memilih Bersatu untuk bekerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

"Maka ahli-ahli Parlimen Bersatu mesti membuat persediaan awal. Saya menyeru ahli yang sudah berfikir panjang untuk membantu kawasan mereka, bersama kerajaan menyokong PMX.

"Saya menggalakkan mereka buat (sokongan) secara berkelompok supaya kenyataan itu lebih tegas, solid kepada Perdana Menteri," ujarnya.