Bekas kontraktor OKU hasilkan kerusi roda bermotor

Mohd Asna (duduk kanan) melihat kerusi roda bermotor dihasilkan Azarin
Mohd Asna (duduk kanan) melihat kerusi roda bermotor dihasilkan Azarin
A
A
A

NILAI - Pernah berada di kemuncak kerjaya sebagai seorang kontraktor, namun siapa sangka takdir ALLAH mengubah hidup bapa empat anak ini selepas diuji dengan penyakit saraf tunjang yang mengakibatkannya lumpuh.

Dari seorang yang normal, Azarin Razali, 51, kini berstatus orang kurang upaya(OKU) dan hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda.

Malah disebabkan itu, dia juga terpaksa menutup syarikat pembinaan yang diusahakan lebih 10 tahun selain hampir muflis apabila terpaksa menjual rumah serta kenderaan miliknya.

Bagaimanapun, dia kini bangkit menjalankan perniagaan menghasilkan kerusi roda bermotor yang dinamakan Gospeedi bagi memudahkan pergerakan OKU dan kini sudah menerima lebih 100 tempahan dari seluruh Malaysia termasuk luar negara.

"Pada awalnya saya cuba teruskan perniagaan sebagai kontraktor kerana ingatkan orang lebih simpati dengan OKU, tapi rupanya tidak, mungkin saya tak sesuai lagi jadi kontraktor.

"Saya betul-betul 'down' waktu itu dan mengenangkan hidup yang perlu diteruskan, saya terfikir idea hasilkan kerusi roda bermotor ini memandangkan tak ramai yang membekalkannya lagi," katanya kepada Sinar Harian selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Lenggeng, Mohd Asna Amin di kedainya Taman Bukit Senangin di sini pada Khamis.

Azarin memasang sendiri kerusi roda yang ditempah pelanggan
Azarin memasang sendiri kerusi roda yang ditempah pelanggan

Menurutnya, dia membuat kajian terlebih dahulu berkenaan kerusi roda tersebut dan menggunakannya sendiri sebagai testimonial meyakinkan pelanggan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, selepas yakin mengenainya dia mula mengambil tempahan secara kecil-kecilan dan memasangnya sendiri dari rumah.

"Kerusi roda biasa memang ada dijual di pasaran, tapi nak cari kerusi roda yang lebih sesuai dengan keupayaan seseorang OKU itu susah, ia kena ditempah.

"Selepas dua tahun belajar mengenai kerusi roda saya memulakan usaha menggabungkan kerusi roda dan enjin bermotor, malah rekaan itu berjaya menambat hati ramai golongan OKU," katanya.

Azarin berkata, produk Gospeedi direka dengan gabungan komponen terpilih seperti custer hadapan yang berbeza, rim belakang, sport rim dan jenis tayar untuk menjadikannya lebih praktikal serta bergaya.

Tambahnya, Gospeedi mendapat permintaan kerana sesuai buat pengguna aktif memandangkan ia ringan serta berkelajuan sehingga 40 kilometer sejam.

"Alhamdulillah pada tahun 2022 saya membuka kedai sendiri bagi memudahkan pelanggan untuk datang sendiri melihat jenis kerusi roda yang ada.

"Saya akui bukan mudah untuk saya bangkit, tapi daripada saya mengenang nasib ia tidak akan mengubah apa-apa," katanya.

Sementara itu Mohd Asna memuji semangat ditunjukkan Azarin untuk mengubah nasibnya yang perlu dijadikan contoh.

"Meskipun sudah bergelar OKU, tetapi atas kesungguhan untuk bangkit selepas diuji dengan masalah kesihatan sehingga meragut pergerakannya, dia kini berjaya memulakan perniagaan sendiri,"katanya.