Polis tumpaskan kegiatan seleweng diesel Petronas

Ramli
Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel milik Petroliam Nasional Bhd (Petronas) susulan penahanan sembilan individu di Sabah dan Sarawak, pada 9 hingga 11 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, Op Khas 1/2024 dijalankan di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Papar, Kota Marudu di Sabah serta Miri, Sarawak.

Katanya, kesemua yang ditahan berusia 32 hingga 61 tahun membabitkan kapten kapal, jurutera perkapalan, anak kapal, ejen penjual dan pembeli minyak.

"Turut dirampas sejumlah telefon bimbit pelbagai jenama.

"Berdasarkan siasatan yang dilakukan, kegiatan penyelewengan minyak diesel ini telah berlaku pada awal 2023.

"Dalam kes ini, sebuah kapal marin yang beroperasi dengan pihak Petronas dikesan telah melakukan penjualan minyak diesel milik Petronas tanpa kebenaran," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Susulan itu, pada 17 Januari lalu, seorang suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen 3, Kota Kinabalu, Sabah dan dituduh di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Katanya, suspek yang merupakan kapten kapal berusia 60 tahun telah mengaku salah dan dihukum penjara selama 18 bulan.

Artikel Berkaitan: