Ahli Parlimen Bersatu sokong Hamzah sebagai presiden baharu

Hamzah
Hamzah
A
A
A

PUCHONG - [DIKEMAS KINI] Ramai ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahukan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai presiden baharu parti itu.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, Ahli Parlimen Larut itu mempunyai potensi besar bagi memimpin parti berkenaan.

“Larut (Hamzah) juga bersedia, berkemampuan dan berkebolehan untuk memimpin Bersatu,” katanya dalam sidang akhbar di Baitul Husna dekat sini pada Jumaat.

Syed Abu Hussin Hafiz turut meminta barisan kepimpinan Bersatu untuk tampil berani menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu pentadbiran Perdana Menteri itu.

Beliau menamakan Hamzah, Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid.

“Usaha nak jatuhkan kerajaan adalah sia-sia sekarang ini, buang masa. Setahun lebih dah berlalu, takkan masih nak bercakap tentang langkah.

“Saya hanya katakan apa yang perlu dan saya kongsikan supaya rakyat tahu,” ujarnya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, desas-desus muncul 'Langkah Dubai' yang didakwa digerakkan oleh pemimpin parti pembangkang, termasuk wakil tertentu kerajaan, dengan matlamat sama untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

Artikel Berkaitan:

Dakwaan itu didedahkan Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop.

Selain pemimpin pembangkang, 'Langkah Dubai' didakwa turut disertai tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang bersekongkol dengan pembangkang, termasuk dituduh menggunakan 'sumber asing' untuk menggulingkan pentadbiran diterajui Anwar.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin PN telah menafikan bahawa wujudnya rancangan seumpama itu.