'Kematian Gillian kategori syahid akhirat - Mufti

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Wan Salim
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Wan Salim
A
A
A

SHAH ALAM - Kematian seorang lelaki, Allahyarham Gillian Donald yang terkorban kerana mahu menyelamatkan jirannya dalam satu kes kebakaran di Merinding Garden, Labuan pada Rabu dikategorikan sebagai syahid akhirat.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, umat Islam yang meninggal dunia sebagai syahid atau syuhada’ dibahagikan kepada tiga kategori berdasarkan para ulama Fiqh.

Menurutnya, kesemua kategori tersebut mempunyai perbezaan menerusi kaedah pengurusan jenazah.

“Pertama, syahid dunia dan akhirat iaitu seseorang yang mati terbunuh dalam peperangan melawan golongan kafir harbi untuk menegakkan agama ALLAH dengan niat mencari keredaan-Nya.

“Kedua, syahid dunia sahaja iaitu berperang melawan golongan kafir harbi dengan tujuan keduniaan seperti ingin mendapat harta ghanimah, kemasyhuran atau mahu mempamerkan keberaniannya di mata manusia (untuk dipuji) dan seumpamanya.

“Kedua-dua kategori ini tidak dimandi dan tidak disolatkan ke atas jenazah,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Sinar Harian melaporkan, Gillian, 41, maut ketika menyelamatkan tujuh jirannya yang terperangkap dalam kebakaran.

Menurut ahli keluarga, S N Sherafie Izuan, Allahyarham disifatkan sebagai seorang yang menjaga amal ibadah sejak dari bangku sekolah lagi.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, kategori ketiga adalah syahid akhirat antaranya kematian akibat terbunuh secara zalim, diserang penyakit taun, lemas, sakit perut, dan ketika melahirkan bayi.

Jelasnya, golongan itu perlu dimandi dan disolatkan seperti biasa.

“Insya-ALLAH, sekiranya kita melaksanakan amalan fardhu dan ditambah dengan amalan sunat adalah lebih baik termasuk berusaha menghindari maksiat.

"Yang paling penting adalah niat yang ikhlas untuk mendapat keredaan ALLAH SWT,” ujarnya.