Penubuhan RCI tepat, rungkai isu Batu Puteh

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

PENGERANG - Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) oleh kerajaan disifatkan tepat pada masanya dan dilihat sebagai usaha berterusan dalam mengembalikan maruah serta kedaulatan negara melibatkan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri berkata, dengan adanya RCI, ia memberi ruang untuk membincangkan dan memperhalusi ataupun merungkai segala permasalahan dengan telus.

"Saya harap sesiapa sahaja yang dipanggil pihak berwajib, dapat memberi keterangan dengan telus supaya rakyat dapat tahu fakta yang sebenar dan keterangan yang benar, bagaimana perkara ini berlaku, dan memberi kefahaman kepada rakyat (tentang) perkara dan situasi yang sebenar dalam isu ini.

"Selain daripada RCI, saya berpendapat segala perbincangan dan keputusan wajar dirujuk terlebih dahulu kepada Tuanku Sultan Johor dan saya juga mencadangkan agar isu ini (Batu Puteh) dapat dibahas di Parlimen,” kata beliau ketika ditemui di jeti nelayan Sungai Musoh, di sini, pada Khamis.

ADUN Tanjung Surat, Aznan Tamin turut melahirkan rasa terkilan dan dukacita selepas Malaysia kehilangan Batu Puteh susulan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menyerahkan kedaulatan Batu Puteh kepada Singapura pada 2008.

"RCI ini sepatutnya dari dahulu sudah patut ditubuhkan. RCI bertanggungjawab menyemak segala aktiviti dan dikatakan sebagai satu badan bebas untuk menyemak semula terutama daripada segi kenapa kerajaan terdahulu menarik atau melepaskan peluang daripada segi tuntutan untuk semakan semula isu Batu Puteh,” kata beliau.

Selain itu, Aznan berharap agar RCI juga melihat kepada keperluan atau pertimbangan mengenai pemetaan perairan Malaysia dan Singapura, yang antara lain dilihat penting dalam menyelesaikan isu kawasan tangkapan nelayan di sekitar Batu Puteh dan Batuan Tengah.

"Mereka (nelayan) berasa kecewa kerana sudah mula dihalau daripada menangkap ikan dan sebagainya di kawasan itu sedangkan mereka sudah berpuluh tahun memulakan aktiviti tangkapan ikan di kawasan yang sama. Hari ini kawasan tangkapan ikan mereka jadi semakin kecil,” katanya ketika diminta mengulas mengenai penubuhan RCI.

Artikel Berkaitan:

Semalam, mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan RCI bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Setiausaha Jemaah Menteri, Tan Sri Mohd Zuki Ali, yang juga Ketua Setiausaha Negara berkata, penubuhan RCI itu dibuat selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119), dan cadangan keanggotaan suruhanjaya itu akan dibawa untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Menurut beliau, keanggotaan dalam RCI akan mengambil kira pakar-pakar yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang kehakiman, perundangan dan pentadbiran awam serta dapat melaksanakan siasatan dengan telus, adil dan saksama bagi mengelak sebarang isu yang melibatkan konflik kepentingan dengan pihak berkaitan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, bahawa kerajaan mahu isu tuntutan Batu Puteh dikaji semula supaya rundingan segera dan lebih bermakna dapat diadakan dengan Singapura.

Pada 23 Mei 2008, ICJ membuat keputusan untuk menyerahkan kedaulatan ke atas Batu Puteh atau Pedra Branca kepada Singapura, sementara Batuan Tengah atau Middle Rocks, batuan yang terletak kira-kira satu kilometer dari Batu Puteh menjadi milik Malaysia.

ICJ bagaimanapun tidak membuat keputusan mengenai kedaulatan ke atas Tubir Selatan (South Ledge). Mahkamah itu memutuskan Tubir Selatan menjadi milik negara di perairan mana pulau itu terletak.

Pada 2 Februari 2017, kerajaan Malaysia telah memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan ICJ pada 2008 itu.

Bagaimanapun pada Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan itu, dua minggu sebelum kes dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018 di ICJ. - Bernama