Malaysia akan kena tempias setiap perubahan di Antartika - Pakar

Benua yang dirujuk sebagai makmal semula jadi itu, mempunyai petunjuk penting kepada proses rumit planet ini dan memainkan peranan besar dalam sistem iklim bumi.
Benua yang dirujuk sebagai makmal semula jadi itu, mempunyai petunjuk penting kepada proses rumit planet ini dan memainkan peranan besar dalam sistem iklim bumi.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Setiap perubahan di benua Antartika akan mempunyai kesan kepada Malaysia khususnya dalam aspek iklim meskipun negara berada jauh dari kutub itu.

Penyelidik Antartika, Dr Wan Mohd Rauhan Wan Hussin berkata, benua yang dirujuk sebagai makmal semula jadi itu, mempunyai petunjuk penting kepada proses rumit planet ini dan memainkan peranan besar dalam sistem iklim bumi.

Beliau berkata, Antartika yang dikelilingi Lautan Selatan menyimpan kira-kira 90 peratus air tawar permukaan bumi dalam bentuk lapisan air, glasier dan bongkah ais, dengan Lembaran Ais Antartika adalah simpanan air tawar di bumi yang bersamaan dengan hampir 60 meter paras laut.

"Lautan Selatan pula ialah sinki karbon paling berkuasa dan menyerap kira-kira 30 peratus daripada keluaran karbon dioksida yang disebabkan oleh manusia.

"Selain itu, peredaran air serta suhu laut (Lautan Selatan) yang menghubungkan tiga lembangan lautan utama, sangat dipengaruhi oleh ais di benua tersebut,” kata pensyarah dari Univesiti Malaysia Terengganu (UMT) itu dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan (NARC) berkata, kemusnahan ekosistem dan biodiversiti di Lautan Selatan akan mengurangkan keupayaannya untuk menangkap karbon, seterusnya meningkatkan suhu bumi.

"Ia (Antartika) tidak terlepas daripada mendapat kesan buruk akibat pemanasan global yang akan membawa kepada bencana ke seluruh muka bumi seperti kemarau melampau, gelombang haba dan banjir besar.

"Kemusnahan amat besar jika bekuan ais ini mencair. Istilah yang lebih mudah, apa yang berlaku di Antartika memberi kesan kepada seluruh planet dan Malaysia tidak akan terlepas daripada kesannya,” katanya sambil menyeru masyarakat untuk menyebarkan maklumat berkaitan benua Antartika dan kepentingannya dalam kehidupan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, komitmen kerajaan Malaysia dalam merangka pelan tindakan dengan menjadi sebahagian daripada anggota negara yang menjalankan penyelidikan benua Antartika juga harus dipuji, terutama apabila Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) telah menyumbang dana lebih RM8 juta dalam bentuk geran penyelidikan dan biasiswa.

"Walaupun negara tidak mempunyai pangkalan penyelidikan rasmi di benua beku tersebut, sumbangan dana itu cukup menzahirkan hasrat Malaysia serta sebagai petunjuk utama membantu penyelidik mendapat kerjasama dengan saintis dari negara lain,” katanya.

Malaysia juga katanya adalah antara 196 negara yang menandatangani Perjanjian Paris yang bertujuan mengekalkan kenaikan purata suhu global di bawah 1.5 darjah Celcius di atas paras praperindustrian.

"Sesetengah mungkin berpendapat bahawa kita harus menumpukan usaha dalam skala serantau tanpa perlu komited kepada usaha yang lebih besar di benua yang jauh dari kita. Tetapi perlu sedar bahawa kita juga menyumbang kepada pemanasan global dan tanggungjawab untuk memelihara Antartika tidak seharusnya diketepikan,” katanya. - Bernama