Trend ubah apartmen jadi unit Airbnb perlu dikawal - Faiz

Trend peningkatan pembinaan projek apartmen dan unit studio di ibu negara dan bandar utama seperti Petaling Jaya dan Johor Bahru perlu dikawal pihak berautoriti. Gambar hiasan Bernama (Gambar kecil: Muhammad Faiz)
Trend peningkatan pembinaan projek apartmen dan unit studio di ibu negara dan bandar utama seperti Petaling Jaya dan Johor Bahru perlu dikawal pihak berautoriti. Gambar hiasan Bernama (Gambar kecil: Muhammad Faiz)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Trend peningkatan pembinaan projek apartmen dan unit studio di ibu negara dan bandar utama seperti Petaling Jaya dan Johor Bahru perlu dikawal pihak berautoriti.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil secara peribadi berpandangan, ini kerana pemaju dan agen hartanah giat mempromosikan projek-projek itu kepada pelabur untuk dijadikan unit Airbnb atau disewakan.

Ujarnya yang juga seorang peguam, bagi menggalakkan pembelian, pemaju membantu pelanggan dengan memberikan rebat dan 'cashback', di mana pembeli tidak perlu mengeluarkan deposit rumah sebanyak 10 peratus.

"Persoalannya, adakah ini cara pintu belakang untuk tidak terikat dengan arahan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai deposit 10 peratus dan kadar pinjaman 90 peratus?

"Ramai pelabur hartanah menggunakan kelebihan ini di mana mereka dapat membeli unit studio dan apartmen tanpa modal untuk kemudiannya disewakan kepada Airbnb misalnya," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, namun kaedah tersebut membimbangkan kerana boleh menyebabkan harga rumah melambung tinggi walaupun sebahagian besar unit ditawarkan bersaiz lebih kurang 400 kaki persegi sahaja, walaupun saiz rumah semakin mengecil tetapi harganya semakin meningkat.

"Ini secara tidak langsung menyebabkan rakyat Malaysia terutamanya pembeli tulen terpaksa memohon pinjaman bank yang lebih tinggi.

"Kalau trend ini berterusan, saya bimbang generasi muda terpaksa menanggung beban hutang membeli rumah yang tinggi dan generasi akan datang pula dibimbangi terpaksa tinggal jauh dari bandar dan terpaksa berulang alik berpuluh kilometer sehari untuk ke tempat kerja jika harga rumah di luar kemampuan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, laporan daripada Universiti Putra Malaysia baru-baru ini turut menyebut golongan muda tidak gemar membeli rumah kerana lokasi rumah yang mampu dibeli berada jauh dari tempat kerja.

"Banyak projek apartmen 'high-density' mirip Hong Kong telah diluluskan dan dibina dalam tempoh lima hingga lapan tahun lepas dan banyak unit daripada projek-projek 'high-density' ini sudah mula memasuki pasaran lelong, dan lebih membimbangkan, tidak dibeli walaupun sudah dilelong beberapa kali," katanya.

Jesteru BNM perlu mengkaji keberkesanan trend pihak pemaju memberikan rebat dan 'cashback' kepada pembeli, khususnya pelabur.

"Sebaliknya, rebat dan 'cashback' hanya harus diberikan kepada pembeli warganegara Malaysia kali pertama dan pada masa sama, pihak berautoriti perlu membuat ketetapan tegas bagi mengawal trend menjadikan unit-unit apartmen dan studio di Kuala Lumpur sebagai unit Airbnb atau short-term rental accomodation (STRA)," katanya.

Beliau turut berpandangan trend itu juga kurang merangsang pertumbuhan ekonomi negara di mana pengusaha hotel akan terkesan akibat persaingan yang tidak adil.

"Malah, trend ini jika tidak dikawal boleh memudaratkan generasi muda dan akan datang. Sudahlah mereka bergaji rendah, harga rumah pula di luar kemampuan," tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!