Golongan muda tidak terkecuali jadi mangsa scammer

Kamal Affandi
Kamal Affandi
A
A
A

ALOR SETAR - Golongan muda termasuk generasi Z tidak terkecuali menjadi mangsa penipuan dalam talian atau lebih dikenali sebagai ‘online scam’.

Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, keinginan golongan muda sama ada lelaki atau wanita untuk bersaing merebut status kalangan rakan sebaya mendorong mereka membuat keputusan salah berkaitan kewangan dalam talian.

Menurutnya, berdasarkan statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sebanyak 26.2 peratus mangsa penipuan dalam talian berusia antara 20 hingga 30 tahun, sementara 20 tahun ke bawah sebanyak 1.5 peratus, bagi tempoh 2019 hingga 2021.

"Golongan berusia 31 hingga 40 tahun pula direkodkan sebanyak 25.3 peratus. Sementara 29.3 peratus bagi kategori umur selanjutnya, dan daripada jumlah itu, mangsa dalam lingkungan umur 51 tahun ke atas adalah sebanyak 1,621 orang,” katanya, selepas menyampaikan ceramah berkaitan ‘online scam’ pada Program Jelajah MyPESARA Kumpulan Wang Persaraan (Kwap) di sini pada Rabu.

Kamal Affandi berkata, mangsa yang terdiri daripada warga emas berkemungkinan terpedaya dengan penipuan yang mengeksploitasi sifat belas kasihan mereka, berbanding orang muda yang mudah tunduk kepada godaan gaya hidup.

"Anak muda kebiasaannya tidak mahu dipinggirkan oleh rakan-rakan mereka, menyebabkan mereka tunduk kepada tekanan rakan sebaya," katanya.

Menurutnya, perkembangan teknologi yang pesat seperti media sosial memainkan peranan dalam mendorong anak muda membuat keputusan impulsif.

"Disebabkan teknologi dan media sosial ini, mereka takut dikatakan ketinggalan dan ini mendorong mereka untuk bersaing dengan orang lain, yang kini disifatkan perkara biasa.

Artikel Berkaitan:

"Inilah sebabnya mengapa golongan muda mudah dimanipulasi dan dipengaruhi oleh apa yang mereka lihat di media sosial,” jelasnya.

Kamal Affandi menasihatkan warga emas supaya lebih berhati-hati dengan tawaran scammer yang sering menggunakan khidmat amal, keagamaan dan akhlak bagi menjerat mangsa.

“Tiga kategori' paling popular untuk warga emas ialah pinjaman, pembelian dan skim pelaburan. Apabila scammer ini menggunakan imej Islam atau agama untuk mengikuti skim mereka, ramai yang akan tertipu," katanya.

Sehubungan itu, Kamal Affandi menasihatkan orang ramai supaya memastikan tabung kebajikan yang dianjurkan mana-mana pihak mempunyai permit sah daripada polis sebelum membuat sebarang transaksi.

“Kemajuan teknologi tidak seharusnya dijadikan kambing hitam, literasi media perlu dipertingkatkan. Ini kerana penipuan dalam talian bukanlah jenayah baharu, yang membezakan adalah kreativiti penjenayah untuk menipu,” ujarnya.

Jelasnya, isu ini perlu diuar-uarkan kepada orang ramai sebagai peringatan agar tidak terjebak dengan tawaran scammer.

“Harus diingat, anda bukan satu-satunya yang akan menderita jika menjadi mangsa, orang di sekeliling anda juga akan terkesan," katanya.

Kamal Affandi memaklumkan, purata rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan dalam talian pada tahun 2022 adalah 70 orang sehari dengan purata kerugian sebanyak RM33,392.70 setiap mangsa.