Agong zahir penghargaan kepada PM, Jemaah Menteri, bekas PM dan menteri

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, barisan Jemaah Menteri, bekas perdana menteri dan bekas menteri yang telah berkhidmat sepanjang tempoh lima tahun baginda memegang tampuk pemerintahan, sejak 31 Januari 2019, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Bercakap pada sidang media di sini pada Rabu, Fahmi yang juga jurucakap bagi Kerajaan Madani berkata, penghargaan itu disampaikan Al-Sultan Abdullah kepada Anwar semalam, semasa sesi menghadap untuk mesyuarat pra-Kabinet kali ke-160 dan yang terakhir, di Istana Negara, semalam, sebelum Seri Paduka menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Jan ini.

"Jemaah Menteri ambil maklum sembah menghadap Perdana Menteri semalam, dengan Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk sampaikan watikah kepada Jemaah Menteri dan telah dibacakan Perdana Menteri pada Mesyuarat Kabinet hari ini.

"Dalam titah yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong kepada Jemaah Menteri, baginda mengingatkan agar kami sentiasa berkhidmat demi negara dan tidak memikirkan tentang kedudukan atau harta benda untuk tujuan peribadi,” katanya.

Fahmi berkata, Seri Paduka turut berkenan berkongsi sepotong ayat hasil nukilan Imam Ghazali iaitu "sebenarnya kerosakan rakyat disebabkan oleh kerosakan para pemimpinnya dan kerosakan pemimpin adalah disebabkan oleh kerosakan ulama dan kerosakan ulama disebabkan kecintaan kepada harta dan kedudukan”.

Pada Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Anwar itu juga, Fahmi berkata Jemaah Menteri turut menyatakan sokongan terhadap tindakan tegas yang diambil Kerajaan Madani membanteras gejala rasuah di semua peringkat termasuk dalam kalangan Jemaah Menteri.

"Seperti kita semua sedia maklum, Perdana Menteri telah menegaskan semua ahli Jemaah Menteri juga sentiasa dalam pemantauan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), maka Jemaah Menteri bersetuju dengan tindakan tegas dan memberi sokongan penuh supaya ia diteruskan," katanya.

Pada 7 November lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata Anwar telah memberikan 'lampu hijau' kepada SPRM, untuk menyiasat mana-mana menteri, pegawai kerajaan termasuk pegawai khas kepada Anwar sendiri, sekiranya wujud elemen rasuah

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, kerajaan menyambut baik keputusan Ahli Parlimen Tanjong Karang Datuk, Dr Zulkafperi Hanapi yang menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Anwar dan menyifatkan sokongan itu membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan berada pada landasan yang tepat serta stabil.

"Saya terima baik keputusan ini, tapi yang paling penting adalah kita (kerajaan) perlu buktikan kepada rakyat bahawa kerajaan ini mampu menyelesaikan masalah dan ini yang menjadi fokus. Kita tidak berhasrat untuk menarik sokongan, tetapi kalau sokongan datang, ia adalah bukti kerajaan berada di landasan yang betul," katanya.

Susulan sokongan positif yang diterima itu, Fahmi berkata, kerajaan komited dalam memastikan semua lima dasar yang dilancarkan tahun lepas akan dilaksanakan sepenuhnya tahun ini.

"Ini membuktikan kerajaan ini diberi kepercayaan oleh pelbagai pihak. Tapi yang penting bagi kerajaan, dalam kedudukan yang stabil ini, lima pengumuman penting yang telah diumum pada tahun lalu, maka untuk tahun ini adalah pelaksanaan," katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan lima dasar iaitu Dasar Gaji Progresif pada Mei 2023; Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat (Julai 2023); Kajian Semula Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) (14 Julai 2023); Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) (29 Ogos 2023) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) (1 September 2023). - Bernama