SPRM tahan pemilik syarikat disyaki kemuka butiran palsu

SPRM tahan pemilik syarikat disyaki kemuka butir matan palsu bagi tujuan memperdayakan dan mendapatkan wang bernilai kira-kira RM20,000. Gambar hiasan
SPRM tahan pemilik syarikat disyaki kemuka butir matan palsu bagi tujuan memperdayakan dan mendapatkan wang bernilai kira-kira RM20,000. Gambar hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang pemilik syarikat ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes menggunakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu bagi tujuan memperdayakan dan mendapatkan wang bernilai kira-kira RM20,000.

Sumber berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan pada jam 4 petang, Selasa.

Dia bagaimanapun akan dilepaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas 24 jam keterangannya diambil di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang di sini.

"Lelaki terbabit disyaki menggunakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu bagi tujuan memperdayakan dan mendapatkan wang bernilai kira-kira RM20,000 untuk pembekalan enam unit televisyen 65 inci sedangkan hanya empat unit yang dibekalkan.

"Dia ditahan ketika diminta hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang. Suspek yang merupakan seorang pemilik syarikat dipercayai melakukan kesalahan tersebut pada tahun lalu.

"Suspek ditahan bagi tujuan rakaman percakapan serta pengumpulan keterangan dan akan dilepaskan dengan jaminan SPRM dalam tempoh 24 jam," katanya.

Kata sumber lagi, suspek telah mengemukakan sebut harga dan pembekalan yang mengandungi butir matan palsu kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) salah sebuah sekolah kebangsaan di Balik Pulau.

“Jumlah pembekalan yang tidak dilaksanakan iaitu sebanyak dua unit televisyen bernilai kira-kira RM5,600,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Pengarah SPRM Pulau Pinang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!