Ditipu 'artis terkenal' jual pakaian dalam

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

HAMPIR setiap hari, ada sahaja berita mengenai kes penipuan siber atau scammer yang menggunakan pelbagai cara untuk memperdayakan mangsa.

Kali ini, ibu penulis sendiri menjadi mangsa ketika mahu membeli pakaian dalam menerusi Facebook selepas tertarik dengan promosi seorang ‘artis terkenal’. Dia membeli tiga pakaian dalam dengan harga RM100.

Malangnya, apabila sampai di tangan, kualiti barangan jauh berbeza daripada yang diiklankan. Produk yang digembar-gemburkan itu sebenarnya bernilai RM10 dan terang-terangan tertulis ‘made in China’.

Ibu penulis menghubungi semula penjual itu namun gagal. WhatsApp telah kena block, ruangan komen di Facebook juga disekat.

Terfikir pula, takkanlah artis sepopular itu menjual pakaian dalam ‘cap ayam’ yang boleh menjejaskan reputasinya. Setelah diselidik, rupa-rupanya ia taktik baharu scammer yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Dengan AI, mereka memalsukan gambar dan suara artis untuk menjual produk, dibantu latar belakang seperti keadaan sebenar menunjukkan seolah-olah artis tersebut bersungguh-sungguh mempromosikan produk mereka.

Tiada yang mustahil dengan AI, gambar orang yang sudah meninggal dunia pun boleh ‘dihidupkan’ apatah selebriti dan artis popular yang sememangnya kerap ditonton di media sosial. Artis berkenaan juga rupanya sudah membuat penafian terlibat dengan penjualan pakaian sejak Ogos tahun lalu.

Peliknya, iklan perniagaan yang masih menggunakan namanya itu masih wujud di laman sosial, seolah-olah tiada tindakan daripada pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi tampil mendedahkan beberapa artis terkenal sudah menjadi mangsa jenayah siber yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan mudah.

Dakwa beliau, ada artis yang mengadu wajah dan suara mereka digunakan untuk menjual sesuatu produk, walhal tidak terlibat langsung dengan perniagaan tersebut.

Beberapa selebriti popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Aaron Aziz dan Neelofa mengakui mereka menjadi mangsa kepada penjenayah siber yang menggunakan AI untuk menjual produk. Menurut Siti Nurhaliza, beliau pernah menjadi mangsa scammer apabila videonya disunting dan suaranya ditiru untuk mempromosikan cadar.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan peningkatan kes jenayah siber dalam tempoh terdekat susulan kepesatan teknologi terutama melalui penggunaan AI.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pakar dan saintis AI kini sangat bimbang mengenai perkembangan pesat dunia komunikasi moden yang boleh digunakan untuk tujuan jenayah dengan mudah.

Beliau berkata, kesedaran masyarakat dilihat masih berada pada tahap sangat rendah apabila ada yang mudah terpedaya dengan helah sindiket penipuan dalam talian.

Berikutan itu, PDRM akan terus meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai jenayah siber yang dijangka sentiasa meningkat pada masa akan datang sejajar kepesatan teknologi terutama penggunaan teknologi AI.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Parlimen sebelum ini berkata, hampir 55,000 kes jenayah siber dengan nilai kerugian mencecah RM1.8 bilion dilaporkan bagi tempoh 2021 hingga Julai tahun ini.

Melihat kepada angka kerugian itu, AI mampu menjadi ancaman besar terhadap masyarakat, negara malahan dunia.

Beberapa negara Eropah sudah pun memulakan langkah dengan draf perundangan berhubung etika keselamatan teknologi AI. Ia adalah satu langkah awal terhadap kawal selia teknologi berkenaan pada masa depan.

Justeru, sudah sampai masanya negara kita juga bertindak segera bagi memastikan teknologi AI menjadi ancaman kepada masyarakat.

* Arney Syema Anua ialah Editor Pengisian Sinar Online