'Hadap sahaja Korea Selatan'

Skuad Harimau Malaya akan menentang Korea Selatan dalam aksi terakhir kumpulan Piala Asia pada Khamis. Foto FB FAM
Skuad Harimau Malaya akan menentang Korea Selatan dalam aksi terakhir kumpulan Piala Asia pada Khamis. Foto FB FAM
A
A
A

MALAYSIA perlu mempunyai satu struktur pembangunan dinamik bagi mewujudkan budaya bola sepak yang sistematik bermula dari peringkat akar umbi sehingga ke tahap tertinggi bergelar sebagai pemain elit dan profesional.

Jurulatih berpengalaman Wan Jamak Wan Hassan berkata, ia meliputi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang dalam usaha membina rantaian pemain dari peringkat usia muda sehingga senior.

Beliau berkata, Piala Asia Qatar 2023 menjadi pentas terbaik buat skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan-gon untuk menilai semula prestasi keseluruhan pasukan meliputi keupayaan pemain, taktikal dan aksi persahabatan antarabangsa.

“Perjuangan Malaysia bukan semata-mata di Qatar, tapi perjalanan kita masih panjang termasuk bersaing dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

“Selepas berakhir Piala Asia, kita perlu berbincang, apa langkah selepas ini.

"Saya percaya dengan barisan kejurulatihan yang ada, pakar-pakar dan input dari semua pihak, kita mampu mencari solusi terbaik memajukan bola sepak negara,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Beliau menjelaskan, menjelang aksi terakhir Kumpulan E menentang pasukan Piala Dunia, Korea Selatan pada Khamis, skuad negara wajar memberi aksi terbaik untuk melakar keputusan positif.

“Atas kertas memang sukar, namun perlu ubah cara fikir.

Artikel Berkaitan:

"Andai rasa kalah, itulah hasil.

"Beri saingan sengit untuk lihat hasil yang lebih baik.

"Bermain macam biasa, soal taktikal terserah kepada barisan kejurulatihan,” katanya.

Wan Jamak turut melihat keperluan untuk mempelbagaikan peringkat usia pemain dalam pasukan negara sebagai pendedahan dan kesinambungan skuad untuk masa depan.

“Misalnya Jepun dan Korea Selatan, mereka mempunyai kelompok pemain muda berusia 23 tahun ke bawah dalam jumlah yang besar.

"Bersedia bila-bila masa untuk diserap ke dalam skuad senior,” katanya.

Sebagai pelan jangka panjang, beliau melihat pembangunan akar umbi di peringkat usia muda perlu terus diperkasa dengan kerjasama pelbagai pihak.

“Budaya bola sepak pada usia lapan hingga belasan tahun wajar dimantapkan.

"Bakat mereka perlu dicungkil dan digilap.

"Mereka merupakan generasi pelapis yang bakal mengalas cabaran negara di peringkat tertinggi pada masa depan,” katanya.