Bukan salah sesiapa kecuali saya - Pan-gon

Kim Pan-gon pada perlawanan di antara Malaysia menentang Bahrain peringkat Kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Jassim Bin Hamad. Foto Bernama
Kim Pan-gon pada perlawanan di antara Malaysia menentang Bahrain peringkat Kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Jassim Bin Hamad. Foto Bernama
A
A
A

KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengambil sepenuhnya tanggungjawab di atas kegagalan Malaysia pada kempen Piala Asia 2023 selepas tewas 0-1 kepada Bahrain pada perlawanan kedua Kumpulan E di sini, malam tadi.

Kekalahan di Stadium Jassim bin Hamad itu menutup peluang Malaysia untuk melangkah ke pusingan 16 terbaik apabila merakam dua kekalahan berturut-turut selepas tumpas 0-4 kepada Jordan, Isnin lepas.

Jurulatih dari Korea Selatan berusia 54 tahun itu tidak menyalahkan sesiapa kecuali dirinya yang mempunyai jangkaan tinggi terhadap barisan pemain untuk cuba mencipta kejutan dan sejarah di sebalik realiti di atas kertas.

"Tiada apa yang salah, di sinilah kami berada, mungkin sebagai jurulatih saya silap. Saya mempunyai terlalu banyak jangkaan...memberi terlalu banyak impian kepada pemain saya kepada orang ramai (rakyat Malaysia), itu masalah saya.

"Tiada apa-apa (salah) daripada FA (Persatuan Bolasepak Malaysia), daripada pemain atau orang ramai, ini masalah jurulatih," katanya pada sidang media selepas perlawanan di Qatar.

Reaksi kekecewaan para pemain Malaysia, selepas tewas kepada Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu. Foto Bernama
Reaksi kekecewaan para pemain Malaysia, selepas tewas kepada Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu. Foto Bernama

Beliau berkata demikian ketika ditanya di mana silapnya selepas Malaysia menikmati rekod prestasi memberangsangkan menjelang kempen di sini, selain membuat persiapan rapi dengan menjalani kem latihan pusat selama tiga minggu termasuk dua minggu di Doha.

Mengulas mengenai perlawanan malam tadi, Pan-gon merasakan Malaysia sekurang-kurangnya mampu mencatat keputusan seri, selain menganggap anak buahnya gagal untuk mendominasi permainan.

Artikel Berkaitan:

Namun, dari sudut positif beliau melihat penampilan Malaysia pada edisi kali ini memberi pengalaman berguna kepada pemain muda yang masih berpeluang beraksi pada edisi akan datang selepas ini.

Pemain tengah, Ali Madan muncul wira Bahrain apabila menjaringkan gol kemenangan skuad Dilmun’s Warriors bimbingan Juan Antonio Pizzi pada minit-minit akhir masa kecederaan separuh masa kedua yang menyaksikan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed gagal menyelamatkan bola dari sudut yang mudah.

Kemenangan pertama dalam kempen itu menghidupkan peluang Bahrain untuk melangkah ke pusingan 16 terbaik sekali gus menyamai pencapaian edisi 2019.

Malaysia akan melengkapkan baki saingan kumpulan bertemu juara dua kali Korea Selatan manakala Bahrain akan membuat perhitungan dengan Jordan, masing-masing pada Khamis ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!