Masjid, surau di Perak kutip lebih RM1 juta bantu Gaza

Harith Fadzilah (empat dari kanan) menyerahkan replika cek sumbangan dari Tabung Bencana dan Kemanusiaan Masjid-Masjid Negeri Perak kepada Mohd Azmi di Masjid Negeri Perak di sini pada Isnin.
Harith Fadzilah (empat dari kanan) menyerahkan replika cek sumbangan dari Tabung Bencana dan Kemanusiaan Masjid-Masjid Negeri Perak kepada Mohd Azmi di Masjid Negeri Perak di sini pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Masjid dan surau diri Jumaat di Perak berjaya mengutip RM1.04 juta sumbangan untuk disalurkan ke Gaza, Palestin melalui Tabung Bencana dan Kemanusiaan Masjid-Masjid Negeri Perak sejak awal Oktober tahun lalu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, kutipan sumbangan tersebut sebagai tanda solidariti serta sokongan umat Islam di seluruh Perak terhadap rakyat Palestin yang sedang berdepan serangan tentera Zionis.

Menurutnya, sehingga kini penyaluran sumbangan sudah dilakukan secara berperingkat iaitu RM700,000 kepada Yayasan Al-Quds, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) RM244,641 dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) RM100,000.

"Kutipan ini akan diteruskan dan sesiapa yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian di masjid-masjid dan Surau Diri Jumaat di kariah masing-masing. Kita tidak hentikan selagi mana situasi di Gaza masih berterusan. Selepas ini nanti akan ada pembangunan pasca peperangan yang memerlukan dana lebih banyak untuk membangunkan balik Gaza.

"Kepada masyarakat yang menyumbang, terima kasih banyak. Mudah-mudahan ALLAH mengganjari mereka dengan ganjaran yang besar. Jadi jangan ragu-ragu, insya-ALLAH sumbangan ini sampai kepada mereka di Gaza," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan sumbangan Tabung Bencana dan Kemanusiaan Masjid-Masjid Negeri Perak kepada MAPIM di Masjid Sultan Idris Shah II yang juga Masjid Negeri Perak, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid dan Imam Besar Masjid Negeri Perak, Abdul Farid Salleh.

Dalam perkembangan berkaitan, Harith Fadzilah meminta semua masjid, surau diri Jumaat dan surau di negeri ini supaya meneruskan bacaan Qunut Nazilah selepas solat fardu.

Artikel Berkaitan:

"Qunut Nazilah ini kita harap masjid-masjid teruskan kerana kita tidak ada keluarkan pekeliling untuk hentikannya.

"Kita melihat bahawa doa kita sangat penting untuk memberikan kekuatan dan semangat kepada saudara-saudara kita di Gaza," katanya.

Sementara itu, Mohd Azmi menjelaskan sumbangan diberikan oleh masjid-masjid di Perak itu akan diagihkan melalui pembelian barangan keperluan di Gaza selain pemberian wang tunai kepada penduduk yang terjejas.

Katanya, antara barang-barang keperluan yang akan diedarkan meliputi makanan, ubat-ubatan serta keperluan untuk wanita dengan keutamaan diberikan kepada golongan wanita dan kanak-kanak.