Kegagalan PISA punca kelemahan sistem pendidikan terdahulu - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada perasmian Wacana Pemikiran Global 2024 bertemakan The Next 100 Years: Vision 2100 for Malaysia di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya pada Isnin. Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada perasmian Wacana Pemikiran Global 2024 bertemakan The Next 100 Years: Vision 2100 for Malaysia di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prestasi Malaysia dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 merupakan contoh kegagalan, dan semua pihak perlu sedar ia berpunca daripada kekurangan yang wujud dalam sistem pendidikan terdahulu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengakui terkesan dengan laporan prestasi tersebut berkata, perkara itu telah memberi kesan kepada kedudukan negara bagi menarafan antarabangsa.

Justeru menurutnya, semua pihak tidak boleh menafikan perkara tersebut sebaliknya bersedia mengadaptasi perubahan seiring peredaran masa, demi memastikan negara mampu bergerak ke hadapan.

"Kegagalan kita adalah ketaasuban dengan kejayaan lampau. Kita berada di sini ketika ini, bukan untuk menafikan pencapaian terdahulu seperti pertumbuhan ekonomi, perpaduan dan peningkatan pada tahap tertentu dalam sistem pendidikan.

"Namun, berdasarkan fakta asas, beberapa daripadanya membimbangkan. Merujuk kepada laporan PISA terkini yang akan menjadi kayu pengukur kepada tahap kejayaan negara.

"Malaysia berada di tangga ke-51 daripada 81 negara dalam kajian PISA, khususnya dalam subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Malah, kita terburuk dalam kalangan tujuh negara ASEAN," katanya ketika berucap merasmikan Wacana Pemikir Global 2024 bertemakan 'The Next 100 years: Vision 2100 for Malaysia', di Universiti Malaya (UM), di sini pada Isnin.

Baru-baru ini, Malaysia dilapor mencatat kemerosotan dalam purata pencapaian ketiga-tiga domain literasi yang ditaksir iaitu Matematik, Saintifik, dan Bacaan, dalam PISA 2022.

Bagi Literasi Matematik yang menjadi domain utama, skor purata menurun sebanyak 31 mata dari 440 dalam PISA 2018 kepada 409; Literasi Saintifik turun 22 mata dari 438 kepada 416; sementara Literasi Bacaan turun 27 mata dari 415 kepada 388.

Artikel Berkaitan:

Skor purata murid Malaysia juga adalah lebih rendah daripada skor purata Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) bagi ketiga-tiga literasi.

Kesan pandemik Covid-19 yang menjejaskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) dilihat sebagai antara faktor penyumbang utama kemerosotan prestasi tersebut.

Dalam pada itu, Anwar berkata, alasan standard yang sering dikemukakan berhubung prestasi berkenaan adalah berpunca daripada penularan pandemik Covid-19.

Sedangkan tegas beliau, pandemik itu juga turut menjejaskan semua negara lain termasuk negara jiran termasuk Indonesia, Singapura.

"Jadi kenapa kita gagal? Soalan ini perlu ditanya sebelum kita mahu membincangkan mengenai visi negara bagi 100 tahun akan datang.

"Kita perlu cakna mengenai keadaan negara dan tidak boleh kekal dalam sindrom penafian," katanya.