TSG buka tirai 2024 sertai Tour of Sharjah

Barisan pelumba-pelumba tempatan Terengganu Cycling Team(TSG) bagi musim 2024 yang diperkenalkan pada majlis yang telah berlangsung pada 21 Januari lalu.
Barisan pelumba-pelumba tempatan Terengganu Cycling Team(TSG) bagi musim 2024 yang diperkenalkan pada majlis yang telah berlangsung pada 21 Januari lalu.
A
A
A

GERGASI sukan berbasikal Asia, Terengganu Cycling Team (TSG) membuka lembaran musim 2024 dengan menyertai perlumbaan Tour of Sharjah yang dijadualkan berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 26 sehingga 31 Januari depan.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Izmuddin Che Ku Mahmood berkata, kejohanan selama lima hari itu dijangka berdepan saingan lebih sukar memandangkan perlumbaan berstatus 2.2 hors turut mendapat penyertaan dari beberapa pasukan elit berstatus Pro Benua.

Menurutnya, penyertaan dari beberapa pasukan baharu ditubuhkan juga tidak boleh dipandang sebelah mata memandangkan terdapat dalam kalangan pasukan itu turut dibarisi oleh beberapa pelumba profesional ternama yang sering mewarnai kalendar siri jelajah perlumbaan badan induk berbasikal dunia (UCI) tersebut.

"Kami menjangkakan akan berdepan saingan yang lebih sengit pada perlumbaan kali ini di mana maklumat awal diterima terdapat beberapa pasukan mahupun pelumba berstatus Pro Benua yang juga akan hadir.

"Sebab itulah kami perlu ambil perhatian untuk percaturan taktikal pasukan TSG. Setakat ini kita tidak banyak mengetahui kekuatan sesuatu pasukan itu namun kita mengetahui kemampuan pasukan itu sendiri berdasarkan kekuatan dan pengalaman dimiliki pelumba-pelumba," katanya

Beliau menjelaskan, senarai akhir pelumba ke Tour of Sharjah masih dalam penilaian di mana percaturan akhir akan ditentukan oleh bahagian kejurulatihan yang diketuai oleh Mohd Saiful Anuar Aziz selaku ketua jurulatih pasukan TSG.

Che Ku Izmuddin (depan, kiri) bersama Exco Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim(tengah) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil (kanan) ketika menyempurnakan Majlis Perlancaran Pasukan Terengganu Cycling Team bagi musim 2024 pada 21 Januari lalu.
Che Ku Izmuddin (depan, kiri) bersama Exco Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim(tengah) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil (kanan) ketika menyempurnakan Majlis Perlancaran Pasukan Terengganu Cycling Team bagi musim 2024 pada 21 Januari lalu.

TSG hadir selaku pasukan berstatus juara berganda musim lalu setelah berjaya mengekalkan kejuaraan selaku juara Jelajah Asia dan Pasukan Benua Terbaik Dunia.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, kapten pasukan, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki meletakkan harapan tinggi buat pengalaman pelumba import baru TSG musim ini, Merhawi Kudus yang pernah beraksi bersama pasukan profesional berstatus Pro Benua iaitu Astana Pro Team dan Team Dimension Data bagi mengekang saingan dari pelumba-pelumba ternama di UAE nanti.

"Pada musim ini sekali lagi merupakan tanggungjawab yang besar untuk saya pikul sebagai kapten pasukan, walaupun percaturan taktikal dirangka oleh barisan jurulatih namun dari segi perlaksanaan mahupun komunikasi di dalam pasukan terletak di atas bahu saya.

"Pada perlumbaan di UAE nanti, saya melihat saingan yang lebih sengit dengan penyertaan pelumba-pelumba profesional berstatus Pro Benua jadi dengan kehadiran Merhawi Kudus sebagai pelumba import baharu bagi TSG yang pernah beraksi dengan pasukan berstatus Pro Benua dilihat memberi kelebihan buat TSG musim ini.

"Begitu juga dengan pengalaman barisan pelumba-pelumba yang masih bersama TSG pada musim ini di mana ada di antara mereka pernah beraksi di Tour of Sharjah secara tidak langsung mampu untuk memberi cabaran di sana nanti." ujarnya.

Terdahulu pada satu majlis pelancaran pasukan yang telah berlangsung di Kuala Terengganu, TSG telah mengumumkan tiga pelumba baru pasukan iaitu pelumba muda kebangsaan Nur Aiman Rosli yang telah menyarung Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia pada Le Tour de Langkawi (LTdL 2023) yang lalu, manakala dua pelumba import baru pasukan iaitu Andreas Miltiadis dan Merhawi Kudus Ghebremedhin melengkapkan keseluruhan 16 pelumba pasukan TSG bagi musim tahun ini.