Tidak semua kejuaraan laksana mata sistem ranking dunia

Arena takraw bakal memasuki lembaran baharu dengan pengenalan sistem ranking dunia. Foto Agensi
Arena takraw bakal memasuki lembaran baharu dengan pengenalan sistem ranking dunia. Foto Agensi
A
A
A

KEJUARAAN sepak takraw kompetitif berkualiti menjadi asas utama kepada regu berpasukan apabila sistem ranking dunia dalam sukan itu dilaksanakan pada masa depan.

Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF), Datuk Abdul Halim Kader berkata, penetapan itu penting bagi memastikan kejuaraan memenuhi standard pungutan mata seperti yang dilaksanakan badan induk sukan dunia lain.

"Suka saya nyatakan bahawa tidak semua kejuaraan sepak takraw anjuran ahli gabungan ISTAF akan mendapat mata bagi sistem ranking dunia.

"Penetapan kejuaraan penting bagi memastikan mata untuk sistem ranking dunia memenuhi tidak hanya kualiti tapi piawaian ditetapkan ISTAF.

"Bagi tujuan itu, ISTAF dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) akan menubuhkan jawatankuasa dianggotai wakil dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Korea Selatan, India dan Filipina untuk meneliti dan menilai butiran pelaksanaan ini yang sesuai diberikan mata untuk sistem ranking dunia," katanya kepada Sukan Sinar.

Sebagai rekod, kejuaraan di bawah kendalian ISTAF - Kejohanan Sepak Takraw Dunia, Kejohanan Sepak Takraw Antarabangsa, Sepak Takraw Antarabangsa Piala Dunia dan Piala Raja-Raja Sepak Takraw Antarabangsa.

Sementara kejuaraan bawah seliaan ASTAF pula adalah Piala Asia, Sukan Asia, Sukan SEA, Kejohanan Sepak Takraw Asia dan Kejuaraan SAF.

Halim sebelum itu menegaskan prestasi acara regu berpasukan menjadi asas utama untuk menentukan cadangan sistem ranking dunia dalam sepak takraw.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sistem ranking dunia sukan itu akan merujuk keputusan perlawanan

dengan pasukan paling berjaya diletakkan pada kedudukan tertinggi acara berpasukan lelaki.

"Secara khusus, ranking acara berpasukan negara akan menjadi hanya acara yang tertakluk kepada ranking dunia dengan hanya pasukan kebangsaan yang akan termasuk dalam sistem ranking dunia," katanya.

Jelas Halim, sesebuah negara yang menyertai kejohanan utama dalam acara berpasukan akan mendapat dua mata untuk penyertaan.

"Tiga mata pula untuk setiap kemenangan dan ditolak satu mata bagi setiap kali menarik diri daripada pertandingan.

"Negara-negara yang menyertai pertandingan jemputan yang diiktiraf ISTAF dalam acara berpasukan akan juga mendapat satu mata untuk penyertaan, dua mata untuk setiap kemenangan.

"Biarpun begitu, ISTAF akan mendapatkan pandangan dan cadangan menambah baik pelaksanaan ranking dunia untuk sepak taktaw sebelum dilaksanakan," katanya.