TRW akan panggil semua pemain bincang tunggakan gaji

Wan Rahim (tengah) bergambar bersama Rakemi (dua dari kanan) dan rakan strategik yang menandatangani perjanjian dengan TRW hari ini.
Wan Rahim (tengah) bergambar bersama Rakemi (dua dari kanan) dan rakan strategik yang menandatangani perjanjian dengan TRW hari ini.
A
A
A

TEAM Red Warriors (TRW) Sdn Bhd akan memanggil semua pemain yang terlibat dalam kes tunggakan gaji minggu depan bagi membincangkan kaedah pembayaran yang boleh dilaksanakan.

Pengarah Urusan TRW, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari berkata, pertemuan tersebut amat penting bagi membincangkan kaedah pembayaran memandangkan TRW tidak mampu untuk membayar tunggakan tersebut secara sekali gus.

“Saya pun buat pertemuan dengan pihak FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) bagi membincang isu ini dan selepas itu kita buat keputusan panggil pemain untuk berunding cara-cara melangsaikan hutang mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: 'TRW bukan lagi pasukan bermasalah'

“Cuma saya amat berharap agar semua pemain dapat bersabar dengan keadaan kantung TRW sekarang yang masih belum pulih sepenuhnya dan kami akan menggunakan kaedah yang terbaik untuk membayar semua hutang tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu tuntutan gaji melibatkan pemain pasukan itu sebelum ini.

Terdahulu, beliau dan kepimpinan tertinggi TRW menyaksikan upacara menandatangani perjanjian rakan strategik melibatkan dua syarikat iaitu Nexy Ventures Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Urusannya, Wan Mohd Hafiz Othman dan Syarikat Matek Maju Resource yang diwakili Pengurusnya, Muhammad Syawal Mahmood.

Turut hadir, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Wan Rahim Wan Abdullah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai kantung TRW, Wan Rakemi berkata, sehingga kini pihaknya masih belum mempunyai penaja utama untuk membantu pengurusan TRW musim ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak meletakkan apa-apa syarat jumlah penajaan tertentu kepada mana-mana pihak yang sudi bekerjasama.

“Melibatkan penajaan dalam keadaan semasa kini, kita masih boleh berunding dan tiada amaun tetap dijadikan syarat. Apa yang penting, perancangan sekarang ialah untuk persiapkan pasukan.

“Dalam keadaan bebanan hutang sekarang ini, TRW perlu mempunyai perancangan terperinci memandangkan kita masih belum mempunyai penaja utama. Maka inisiatif sekarang ini ialah mencari rakan kongsi untuk memenuhi kantung TRW,” katanya.