Pemandu lori miliki 16 rekod jenayah ditahan curi kabel TM

Pemandu lori miliki 16 rekod jenayah ditahan kerana mencuri kabel TM di Taman Ampang Utama pada Jumaat.
Pemandu lori miliki 16 rekod jenayah ditahan kerana mencuri kabel TM di Taman Ampang Utama pada Jumaat.
A
A
A

AMPANG - Seorang pemandu lori yang memiliki 16 rekod jenayah ditahan kerana disyaki mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di Taman Ampang Utama di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, seorang lelaki yang juga juruteknik berusia 40 tahun telah menerima laporan kerosakan panggilan telefon yang dialami oleh pelanggan pada jam 11.49 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kabel talian telah dipotong dan dicuri.

"Jumlah kabel yang dipotong dianggarkan sebanyak empat batang pelbagai saiz sepanjang 150 meter, anggaran kerugian RM 6,000," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Azam berkata, susulan laporan yang diterima, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di Jalan Hujan Gerimis, Overseas Union Garden, Kuala Lumpur pada jam 11.10 malam, hari sama.

"Polis merampas kunci, lori jenis Mitsubishi, mesin pemotong dan wayar kabel bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine, ketamin dan amphetamine.

"Semakan mendapati suspek mempunyai 16 rekod lampau jenayah, dua rekod kes dadah dan satu rekod masih dikehendaki atas kesalahan dadah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azam berkata, siasatan awal mendapati suspek terlibat dengan satu kes di daerah Ampang Jaya dan dua kes di daerah Brickfields, Kuala Lumpur.

"Suspek telah direman empat hari bermula Sabtu hingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!