Ringgit mungkin diniaga paras 4.70 berbanding dolar AS minggu depan

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

RINGGIT berkemungkinan diniagakan pada paras 4.70 berbanding dolar AS minggu depan, didorong oleh persekitaran risiko yang tidak menguntungkan.

Ini disebabkan ketidaktentuan geopolitik, jangkaan pemotongan kadar Rizab Persekutuan AS (Fed) yang semakin berkurangan dan kekurangan langkah rangsangan definitif China.

Kenanga Research berkata bagaimanapun, ringgit mungkin mendapat manfaat daripada potensi peralihan yang agresif dalam hala tuju dasar monetari Bank of Japan, dan jika data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat AS 2023 (S4 2023) adalah lebih lemah daripada yang dijangkakan.

"Perhatian juga akan beralih kepada Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi, ketika pelabur mencari petunjuk daripada ekonomi AS yang semakin sejuk.

"Selain itu, prospek inflasi Malaysia yang stabil, anggaran KDNK bagi suku keempat 2023 yang lebih kukuh dan komitmen Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan status quo mungkin terus menyokong ringgit,” katanya dalam nota kajian.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM pada 24 Jan akan dipantau dengan teliti.

Beliau berkata, pasaran mahu melihat penilaian BNM yang terkini memandangkan konflik berterusan di Laut Merah dan Timur Tengah serta bagaimana ia diterjemahkan ke dalam prospek inflasi dan akhirnya pendirian terhadap dasar monetari.

"Sehubungan itu, ringgit berkemungkinan kekal lemah minggu depan dan berlegar sekitar 4.71 hingga 4.72 berbanding dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Bagi minggu dagangan yang baru berakhir, unit tempatan diniagakan lebih rendah kerana pemotongan kadar pertama oleh Fed dilihat menjadi pemacu utama sentimen penghindaran risiko.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, ringgit lebih rendah berbanding dolar AS pada 4.7160/7210 daripada 4.6455/6500 seminggu sebelumnya.​

Unit tempatan itu juga diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1871/1907 daripada 3.2007/2040 seminggu sebelumnya, tetapi susut berbanding pound Britain kepada 5.9822/9886 daripada 5.9239/9297 dan jatuh berbanding euro kepada 5.1324/1379 daripada 5.0924/0973 sebelumnya.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang dari negara-negara Asean.

Ia lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.5176/5216 daripada 3.4900/4936 pada minggu lalu dan jatuh berbanding baht Thailand kepada 13.2733/2941 daripada 13.2464/2664 sebelumnya.

Ringgit jatuh berbanding rupiah Indonesia kepada 301.9/302.4 daripada 298.6/299.1 pada Jumaat minggu lalu dan susut berbanding peso Filipina kepada 8.43/8.44 daripada 8.30/8.32 ketika ditutup minggu lepas. - Bernama