‘DJ Lin jadi mangsa tuduhan’

A
A
A

SELEPAS tujuh hari berdiam diri susulan kontroversi penamatan kontrak penyampai radio, Tyzo Xander, wakil stesen radio Suria FM akhirnya tampil menjawab segala persoalan dan dakwaan yang timbul.

Pengerusi Star Media Radio Group Berhad (SMRG), Datuk Dr Mohd Aminuddin Mohd Rouse meluahkan rasa kesal apabila isu yang tidak dijangka itu memberi kesan kepada Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin.

Jelasnya, DJ Lin bukan individu yang bertanggungjawab membuat keputusan, sebaliknya semua keputusan muktamad datang daripada beliau sendiri.

“Saya sudah maklumkan pada Tyzo bahawa kontraknya tidak diteruskan dan mencadangkan tarikh akhir dia bersiaran adalah pada 12 Januari lalu. Saya juga minta dia buat rakaman sesi akhir di konti dan dia maklumkan tidak akan berbuat demikian kerana dia seorang yang profesional.

Mohd Aminuddin
Mohd Aminuddin

“Namun apa yang berlaku, Tyzo tidak buat rakaman, sebaliknya bersiaran langsung dan turut minta salah seorang pekerja ambil video. DJ Lin kebetulan ketika itu naik untuk mewakili Suria menyampaikan ucapan terima kasih tetapi Tyzo pula menyatakan ini adalah satu penganiayaan buatnya.

“Video itu jadi tular dan siapa yang mendengar serta melihat video itu akan bersimpati dengan Tyzo dan salahkan Suria FM. Berikutan video itu juga DJ Lin menerima kecaman, ada yang suruh letak jawatan, pecat DJ Lin. Anak-anak DJ Lin juga turut menjadi mangsa kecaman netizen.

“Akibat semua ini, siapa sebenarnya mangsa? Mangsanya adalah DJ Lin, kredibiliti menurun, reputasi terjunam,” ujarnya pada sidang media Ruang Udara Suria di Menara Suria Damansara pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohd Aminuddin yang juga Ahli Lembaga Pengarah SMRG, kontrak Tyzo sepatutnya berakhir pada 9 Mac depan selepas Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) itu bersetuju untuk memperbaharui kontraknya selama enam bulan sahaja.

Bagaimanapun memandangkan Suria FM bakal tampil dengan barisan penyampai baharu bermula Isnin minggu depan, maka pemilik nama sebenar Tuah Zoqarnain Idris itu direhatkan daripada bersiaran bersama Sharifah Shahira atau Kak Rara.

“Kontrak Tyzo berakhir pada Oktober tahun lalu dan menerusi perbincangan pada Ogos tahun sama, kita menawarkan kontrak selama setahun tetapi Tyzo mahu sambung selama enam bulan sahaja. Jadi kita setuju kontraknya berakhir pada 9 Mac tahun ini.

“Kedua, kemenangan pada ABP35 tidak membantu menaikkan rating Suria FM pun. Jadi saya berpendapat kita mesti rombak semula Suria FM. Lagipun Tyzo tampak tidak berminat untuk bersama Suria kerana dari awal dia hanya mahu kontraknya bersambung enam bulan dan tidak ada datang untuk berbincang mengenai kontraknya.

“Ingin saya tegaskan, ini adalah tanggungjawab saya. Saya tidak kenal rapat dengan dia dan ini bukan keputusan peribadi. Lagipun pihak Suria tetap membayar gajinya sehingga kontrak berakhir pada 9 Mac depan,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan Tyzo, 48, meminta penambahan gaji, Aminuddin tidak menolak ada perbincangan mengenai perkara itu sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, perkara itu bergantung pada pertimbangan dan sekiranya kontrak sudah ditandatangani, maka persetujuan telah dicapai.

Dalam sidang media sama, Mohd Aminuddin menegaskan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya ada mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan yang memburukkan Suria FM.

“Setakat ini pihak kami tidak merancang mengambil tindakan undang-undang terhadap Tyzo, tetapi selepas ini sesiapa sahaja yang buat kenyataan, kami akan pertimbangkan untuk ambil tindakan selanjutnya.

“Saya juga tidak menanti permohonan maaf daripada dia. Tahap sekarang, susah nak diperbaiki,” katanya yang tidak dapat menjamin sama ada akan kembali ‘rujuk’ dengan Tyzo pada masa depan.

Terdahulu, Suria FM mengumumkan khidmat Tyzo Xander sebagai penyampai Suria FM menerusi segmen Suria Petang berakhir secara rasmi pada 12 Januari lalu.

DJ Lin dalam satu kenyataan berkata, keputusan yang dibuat merupakan langkah Suria FM dalam merangka strategi dan perancangan baharu untuk menghasilkan produk yang lebih menarik serta segar bagi tahun 2024.