Keputusan kaedah pelaksanaan subsidi bersasar minggu depan

Rafizi
Rafizi
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kaedah pelaksanaan semula subsidi bersasar akan diputuskan oleh Jemaah Menteri minggu depan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, Kertas Memorandum Jemaah Menteri berkenaan mekanisme penyasaran semula subsidi telah dihantar ke Kabinet pada Jumaat.

"Ia akan dibincangkan dan diputuskan pada mesyuarat Jemaah Menteri Rabu depan," katanya menerusi sidang akhbar pasca peluncuran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di sini.

Menurutnya, susulan itu satu pengumuman bentuk bantuan subsidi akan dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

"Terpulang kepada Perdana Menteri untuk menentukan tarikh pengumuman tersebut," ujarnya.

Dalam pada itu, Rafizi menjangkakan pola pendaftaran rakyat di dalam sistem PADU akan meningkat sejurus pengumuman mengenai perincian subsidi tersebut dan menggalakkan orang ramai mendaftar secepat mungkin jika berkelapangan.

Tambahnya, pola pendaftaran PADU menurun selepas dua hari ia dilancarkan pada 2 Januari lalu, namun kembali meningkat pada 15 Januari.

"Peningkatan trend ini berikutan pertambahan kaunter pendaftaran PADU dan mereka lebih suka jika hadir di ruang yang disediakan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kita harap penyasaran semula subsidi boleh dilaksana pada suku kedua tahun ini memandangkan kita melihat momentumnya berdasarkan suku. Saya rasa pada suku pertama kita menyusun data dan suku kedua pula kita bersedia untuk menggunakannya," katanya.

Sebelum itu, beliau memaklumkan sejumlah 1,291,459 pendaftaran PADU telah dibuat setakat jam 4 petang dengan Putrajaya menjadi negeri tertinggi yang merekodkan pendaftaran PADU iaitu 9.8 peratus diikuti Sarawak 7.8 peratus dan Perlis.

Pada masa sama, Rafizi berkata, beliau akan melakukan kunjungan hormat terhadap menteri besar dan pimpinan negeri dalam tempoh sebulan bagi memastikan pembabitan di negeri-negeri.

"Saya akan berhubung dengan menteri besar secepat yang mungkin," katanya.

Sementara itu, ditanya adakah kerajaan berhasrat untuk mewajibkan pendaftaran PADU bagi setiap penjawat awam, Rafizi sekali lagi mengulangi bahawa ia tidak diwajibkan.

"Jika dilihat kepada tangga gaji, ramai penjawat awam sebelum ini tercicir daripada program kerajaan sedangkan mereka di bandar besar berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi," katanya.