Subsidi bersasar langkah terbaik pastikan bantuan sampai

Steven - Foto Bernama
Steven - Foto Bernama
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Pelaksanaan subsidi bersasar terhadap sesuatu barangan atau perkhidmatan adalah langkah terbaik bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar, kata Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata, pendekatan itu juga dapat mengelakkan ketirisan seperti yang berlaku sebelum ini apabila bukan warganegara mengambil kesempatan dengan turut menikmati subsidi hingga menyebabkan kerugian kepada negara.

Steven turut memberi jaminan bahawa subsidi bersasar itu tidak akan membebankan 90 peratus rakyat Malaysia.

"Kita nak pastikan wang untuk subsidi digunakan untuk tempat yang betul... untuk golongan memerlukan tak kira B40 atau M40, jadi kita laksanakan subsidi bersasar.

"Penjimatan yang kita dapat daripada pelaksanaan subsidi bersasar ini kita akan salur balik, contohnya lebih banyak duit dalam bentuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), bina lebih banyak sekolah, hospital serta menaik taraf klinik yang daif selain bantuan kepada industri perusahaan kecil sederhana (PKS)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Kampung Siaga 221 Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Kampung Bukit Teh di sini pada Ahad, yang turut dihadiri Pengarah APM Pulau Pinang, Kolonel (PA) Ishak Mohd Radzi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon.

Steven bagaimanapun berkata, pelaksanaan kaedah itu akan dibuat secara berfasa, di samping merangka strategi dan kajian supaya impaknya tidak membebankan majoriti rakyat negara ini.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan kerajaan menjangkakan program subsidi bersasar akan dapat dilaksanakan sepenuhnya bermula tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Ini selepas Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka melalui tempoh percubaan mulai bulan depan sebelum dibuka kepada orang ramai pada Januari 2024 untuk kegunaan pengesahan maklumat peribadi.

Sementara itu, Steven berkata, penubuhan Kampung Siaga bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan dan persediaan penduduk menghadapi bencana terutama banjir.

Sebagai persiapan juga, katanya, kerajaan menerusi Belanjawan 2024 mengumumkan peruntukan kira-kira RM13 bilion untuk pelbagai projek termasuk rancangan tebatan banjir, naik taraf sistem perparitan, kolam takungan, pembaikan cerun, kelengkapan untuk agensi serta pusat pemindahan. - Bernama