Susah buru 'harimau import'

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengakui menghadapi kesukaran mencari pemain yang boleh dinaturalisasikan untuk bermain bersama Harimau Malaya.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam memberitahu, kebanyakan pemain import di Malaysia tidak memenuhi syarat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) iaitu bermain di Liga Malaysia selama lima tahun berturut-turut.

Menurutnya, pilihan yang ada ketika ini hanyalah bintang baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Liridon Krasniqi dan penyerang baharu Perak, Guilherme de Paula yang masing-masing sudah bermain di negara ini selama lima tahun.

“Sebenarnya kebanyakan pemain import di Malaysia ini tidak menepati kriteria bermain secara lima tahun berturut-turut di negara ini untuk membolehkan bermain bersama Harimau Malaya.

“Kalau ada pun pemain import ini yang dah main tiga tahun di sini tetapi tahun keempat pergi main di tempat lain, selepas itu datang balik bermain kat sini. FIFA tak benarkan macam itu, sebaliknya dia perlu bermain lima tahun terus di sini.

“Ada pemain import yang main terus lima tahun di sini tetapi sebelum itu, dia sudah mewakili negaranya dan secara automatik dia tidak boleh bermain untuk Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.

Stuart berkata, FAM menjangkakan tidak ada pemain naturalisasi dalam tempoh dua tahun akan datang ekoran masalah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Memang sukar untuk cari pemain yang boleh dinaturalisasikan dalam masa terdekat. Ramai penyokong tanya kenapa tak naturalisasikan pemain pemain tertentu, sebenarnya mereka tidak tahu syarat FIFA ini.

“Mungkin pada 2021 atau 2022, penyerang Kedah, Kipre Tchetche boleh dinaturalisasikan kerana tahun ini dia sudah empat tahun bermain di sini. Tahun 2021 akan genap lima tahun tetapi segala-galanya belum pasti,” ujarnya.

Terdahulu, FAM meluluskan mekanisme proses pengambilan pemain naturalisasi dalam tiga peringkat - jangka pendek, pertengahan dan panjang.

Proses jangka pendek membabitkan pemain berdarah campuran dan pemain asing yang sudah bermain dalam liga bola sepak tempatan dan menetap sekurang-kurangnya lima tahun di negara ini.

Jangka pertengahan membabitkan pemain berusia 18 tahun ke atas dan meyakinkan mereka untuk menetap di sini selama lima tahun. Proses jangka panjang pula membabitkan pemain yang masih berada di peringkat remaja iaitu di bawah usia 18 tahun, namun cadangan itu perlu diperhalusi terlebih dulu.