Jumlah mangsa banjir di Johor, Sabah berkurangan malam ini

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bilangan mangsa banjir di Johor dan Sabah menunjukkan penurunan manakala Pahang tidak berubah dengan jumlah keseluruhan 205 mangsa masih berlindung di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di ketiga-tiga negeri malam ini.

Laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan di Johor, satu PPS di Batu Pahat telah ditutup petang tadi manakala dua di Segamat masih aktif dengan menempatkan 65 orang daripada 19 keluarga.

Di Sabah pula, satu PPS telah ditutup menjadikan hanya satu masih beroperasi di daerah Beluran yang menempatkan 30 orang daripada 16 keluarga manakala di Pahang, angka mangsa banjir kekal 110 orang daripada 36 keluarga yang berlindung di dua PPS di Rompin.

Tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran pula mendapati lima sungai berada pada paras bahaya membabitkan empat negeri iaitu Sungai Johor, Sungai Muar, Sungai Kedah, Sungai Arau, serta Sungai Terengganu.

NADMA turut memaklumkan terdapat 17 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh antaranya Jalan Kuala Mentiga-Terapai di Pekan, Pahang; Jalan Bukit Jugra di Kuala Langat, Selangor dan Jalan Bukit Kayu Hitam-Bukit Tangga-Sintok di Kubang Pasu, Kedah.

Menurut kenyataan itu, jumlah mangsa kebakaran yang masih berlindung di sebuah PPS di Kuching, Sarawak kekal 38 orang daripada 12 keluarga setakat 8 malam. - Bernama

Artikel Berkaitan: