Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Pada jam 6 petang, ringgit susut kepada 4.7165/7215 berbanding dolar AS daripada 4.7145/7200 ketika ditutup pada Rabu. Foto hiasan
Pada jam 6 petang, ringgit susut kepada 4.7165/7215 berbanding dolar AS daripada 4.7145/7200 ketika ditutup pada Rabu. Foto hiasan
A
A
A

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis apabila pengurangan pertama kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) dilihat sebagai pemacu utama bagi sentimen enggan ambil risiko dalam kalangan pelabur.

Pada jam 6 petang, ringgit susut kepada 4.7165/7215 berbanding dolar AS daripada 4.7145/7200 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, mata wang tempatan agak stabil pada sekitar RM4.712.

Beliau berkata, walau bagaimanapun, pengurangan pertama kadar oleh Fed akan menjadi pemacu utama terhadap keadaan enggan ambil risiko.

Data ekonomi akan datang dari AS juga akan mempengaruhi pelabur sekiranya angka terus mengatasi jangkaan pasaran, kerana Fed mungkin tidak tergesa-gesa untuk mengurangkan kadar faedah.

"Justeru, ringgit dijangka mengalami dagangan berhati-hati dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.

AS mencatatkan data jualan runcit lebih kukuh berbanding jangkaan, sekali gus menyokong nada cenderung kepada kadar faedah tinggi oleh pegawai Fed baru-baru ini bahawa bank pusat itu akan mengekalkan kadar lebih tinggi bagi tempoh lebih lama.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Artikel Berkaitan:

Unit domestik rendah berbanding euro kepada 5.1339/1394 daripada 5.1284/1344 semasa ditutup pada Rabu namun, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.9782/9845 daripada 5.9799/9868.

Ringgit turut tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.1903/1939 daripada 3.1919/1959 semalam.

Pada masa sama, mata wang tempatan didagangkan rendah kebanyakannya berbanding mata wang negara Asean.

Ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.2475/2675 daripada 13.2795/3010 ketika ditutup pada Rabu namun, lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.5098/5141 daripada 3.5081/5127 sebelumnya.

Unit tempatan juga rendah berbanding peso Filipina kepada 8.45/8.46 daripada 8.43/8.45 semalam dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 301.8/302.3 daripada 301.3/301.8 sebelumnya. - Bernama