Ditahan ketika isi minyak diesel

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang menahan seorang lelaki kerana disyaki memiliki minyak diesel tanpa permit.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang menahan seorang lelaki kerana disyaki memiliki minyak diesel tanpa permit.
A
A
A

KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang menahan seorang lelaki kerana disyaki memiliki minyak diesel tanpa permit.

Lelaki berusia 46 tahun itu ditahan ketika mengisi diesel di sebuah stesen minyak di sini pada Rabu.

Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, susulan penahanan lelaki itu, pihaknya turut menemui dan merampas lapan tong plastik berisi 139.54 liter diesel.

Menurutnya, turut disita sebuah kenderaan pacuan empat roda yang digunakan.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM110,300," katanya.

Jezlily berkata, tangkapan dan rampasan itu dihasilkan semasa pemantauan dijalankan pasukan penguat kuasa di bawah Ops Tiris 3.0 di stesen-stesen minyak sekitar Bandar Kuantan.

"Hasil pemantauan itu, anggota penguat kuasa ternampak seorang lelaki mengisi minyak ke dalam tong plastik di ruang belakang kenderaannya dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu gagal mengemukakan permit kebenaran dikeluarkan Pengawal Bekalan untuk membeli barang kawalan (minyak diesel)," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penguat kuasa KPDN bertindak menahan lelaki itu untuk tujuan siasatan dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana memiliki barang kawalan (minyak diesel) dengan niat untuk melakukan kesalahan iaitu tidak memiliki permit kebenaran daripada Pengawal Bekalan.

Tambah beliau, tindakan turut diambil terhadap stesen minyak berkenaan kerana menjual barang kawalan (minyak diesel) kepada individu yang tidak memiliki permit kebenaran sah.

"KPDN memberi amaran kepada individu atau syarikat yang berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang ditetapkan.

"Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan itu boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi syarikat pula, sekiranya disabitkan kesalahan, boleh denda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta," jelasnya lagi.