Piala Emas Khir Johari: Kedah mampu muncul lapan terbaik

Muhammad Radhi (enam dari kanan) dan Syed Unan Mashri (lima dari kiri) bersama barisan pemain yang mewakili Kedah pada Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari ke-57.
Muhammad Radhi (enam dari kanan) dan Syed Unan Mashri (lima dari kiri) bersama barisan pemain yang mewakili Kedah pada Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari ke-57.
A
A
A

EXCO Sukan Negeri Kedah, Muhammad Radhi Mat Din percaya Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (Pestak) mampu muncul lapan pasukan terbaik pada Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari ke-57.

Menurutnya, sekiranya Kedah Eagles melakukan kejutan untuk mara lebih jauh, ia adalah salah satu bonus kerana pasukan kini dibarisi ramai muka baharu.

“Kita meletakkan kepercayaan tinggi kepada persatuan untuk mengembalikan semula kegemilangan Kedah yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai antara juara selain melahirkan ramai bintang-bintang dalam sukan ini.

“Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari 2024 bakal menjadi saksi kebangkitan semula permulaan sepak takraw negeri Kedah,” katanya pada sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran dan pengenalan pasukan sepak takraw Kedah yang akan menyertai kejohanan tersebut di sebuah restoran di Alor Setar dan turut hadir Presiden Pestak, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah.

Sebanyak 18 pasukan dari seluruh negara bakal menyertai Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari ke-57 yang diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar bermula 22 hingga 27 Januari depan.

Kedah diundi dalam Kumpulan B bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sarawak dan Pahang.

Muhammad Radhi (tiga dari kanan) bersama Syed Unan Mashri (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran dan pengenalan pasukan sepak takraw Kedah di sebuah restoran di Alor Setar pada Khamis.
Muhammad Radhi (tiga dari kanan) bersama Syed Unan Mashri (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran dan pengenalan pasukan sepak takraw Kedah di sebuah restoran di Alor Setar pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Radhi berkata, sepak takraw negeri itu dilihat tenggelam sejak sekian lama dan 2024 bakal menjadi tahun kebangkitan buat Kedah Eagles untuk kembali mendaki ke pentas saingan tertinggi negara.

Jelasnya, semua peminat juga perlu memberikan masa kepada Pestak dan pihak berkaitan untuk mengembalikan kegemilangan sepak takraw Kedah dan mereka perlu berpijak pada bumi nyata dengan meletakkan sasaran berdasarkan keupayaan semasa pasukan.

Sementara itu, Syed Unan Mashri berkata, Pestak akan kembali bernafas selepas mendapat jaminan daripada beberapa pihak yang bersedia menaja secara tahunan terutamanya dalam mengadakan liga sepak takraw bagi mencungkil bakat baharu.

Menurutnya, tempoh beberapa tahun perlu diberikan kepada Pestak untuk merencanakan perancangan mereka dan Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari 2024 menjadi pentas pertama pada tahun ini mengukur keupayaan sebenar pasukan.

“Tahun ini kita akan cuba menganjurkan program pembangunan dan liga di peringkat daerah ataupun jabatan-jabatan. Bila tidak ada liga seperti ini, jika tidak ada penajaan juga kami tidak dapat bergerak (sebelum ini),” ujar beliau.