Mahkamah benar tangguh hantar pulang ahli politik Bangladesh

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan seorang ahli politik pembangkang Bangladesh untuk menangguhkan penghantarannya ke negara itu sementara menunggu permohonan habeas corpus atau penahanan salah yang difailkannya selesai.

Hakim K.Muniandy memutuskan demikian selepas peguam Kee Shu Min yang mewakili M.A Quayum, 61, membuat permohonan itu, dan tiada bantahan daripada Peguam Persekutuan Mohamad Firdaus Sadina Ali yang mewakili Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Imigresen, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia selaku responden pertama hingga keempat.

"Mahkamah membenarkan permohonan itu (penangguhan) dan menetapkan 5 April ini untuk mendengar permohonan habeas corpus,” katanya.

Ahli politik dari Bangladesh Nasionalist Party (BNP) itu yang memfailkan permohonan habeas corpus Isnin lepas memohon perintah mahkamah supaya dia dibebaskan selain memohon penggantungan penghantaran pulang ke negara berkenaan sehingga permohonan habeas corpus diputuskan oleh mahkamah.

Menerusi afidavit sokongan, anak perempuan kepada Quayum berkata bapanya selaku pemohon yang menetap di Malaysia sejak 15 tahun lepas dan mempunyai pasport serta merupakan seorang pemegang visa Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada 12 Jan lalu.

Beliau mendakwa tangkapan itu bertujuan untuk menghantar bapanya pulang secara paksa ke Bangladesh dengan segera dan ia satu operasi yang dibuat secara rahsia tanpa mengikuti undang-undang seperti Akta Ekstradisi.

Anak pemohon mendakwa keselamatan bapanya akan terancam dan akan menghadapi penganiayaan politik sekiranya dihantar pulang ke Bangladesh. - Bernama

Artikel Berkaitan: