Bersih gesa pihak membantah adakan pertemuan dengan ERC

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menggesa pihak yang membantah cadangan untuk mereformasikan sistem pilihan raya di negara ini mengadakan pertemuan segera dengan Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC) bagi mengetahui dengan lebih jelas pelaksanaan dan rasionalisasi sistem perwakilan berkadar (PR) itu.

Pengerusinya, Thomas Fann berkata, kurang kefahaman mengenai sistem itu dilihat menjadi faktor wujudnya bantahan oleh pihak-pihak tertentu.

Menurutnya, dakwaan mengatakan penukaran sistem PR untuk kerusi Parlimen dari sistem sedia ada iaitu pemenang kerusi terbanyak (FPTP) akan membawa kepada penguasaan kaum tertentu khususnya di bandar tidak benar sama sekali.

“Isu ini tidak akan timbul kerana PR adalah seluruh negeri atau wilayah seperti Semenanjung Malaysia akan menjadi satu kawasan pilihan raya. Itu bermakna tidak ada mana-mana kawasan bandar atau luar bandar (yang akan dikuasai kaum tertentu).

“Data demografik juga menunjukkan bahawa kebanyakan pusat bandar dan kawasan bandar besar didiami oleh kaum Melayu.

“Justeru, memandangkan bahawa perkara ini masih dalam peringkat cadangan dan pandangan semua pihak termasuk ahli akademik dan parti politik dialu-alukan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan ERC untuk menggantikan sistem pilihan raya sedia ada iaitu sistem FPTP kepada sistem PR yang menimbulkan pelbagai reaksi daripada masyarakat termasuk ahli akademik.

Mengulas perkara sama, Thomas berkata, semua pihak yang berkepentingan diminta untuk turut terlibat dalam perbincangan untuk mengubah sistem pilihan raya di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Penglibatan secara langsung itu diharap mampu memberi peluang terbaik kepada semua pihak dalam memperkukuhkan kembali sistem pilihan raya, selain dapat mengatasi kebimbangan yang wujud sebelum ini,” katanya.