Kedai makan, pakaian pengendali makanan kotor

Pegawai JKNK menampal notis penutupan di sebuah premis makanan di Tumpat
Pegawai JKNK menampal notis penutupan di sebuah premis makanan di Tumpat
A
A
A

KOTA BHARU - Bukan sahaja kedai makan sangat kotor malah pengendali dan pemilik premis juga gagal mengekalkan kebersihan pakaian ketika mengendalikan makanan.

Justeru, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengeluarkan sebanyak 80 Notis Seksyen 32B yang memerintahkan pemilik premis dan pengendali hadir ke mahkamah.

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, notis bagi kesalahan berkenaan paling banyak dikeluarkan daripada 99 notis melalui operasi Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan pada Rabu.

"Antara kesalahan lain yang dikesan ialah tidak mempamerkan Perakuan Pendaftaran dan tidak mematuhi kehendak yang berhubungan dengan tugas am tuan punya, pemilik atau penghuni premis makanan," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Dr Zaini memberitahu, dalam operasi sama lapan premis di daerah itu ditutup selama 14 hari selepas didapati tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan.

Jelas beliau, arahan penutupan berkenaan tertakluk di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Tambah Zaini, Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 01/2024 membabitkan restoran, kedai makan dan kilang makanan di sekitar bandar Tumpat, jalan utama dan sempadan daerah itu.

"Kita memeriksa sebanyak 59 premis makanan manakala pemilik yang tidak mematuhi perintah penutupan boleh dikenakan penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Zaini juga menasihatkan orang ramai yang mengunjungi premis makanan memilih premis yang bersih bagi mengelakkan masalah kesihatan.

Seramai 80 pegawai jabatan berkenaan terlibat dalam operasi itu.