Strategi, hala tuju fokus utama sesi pemukiman Jemaah Menteri

Anwar bersama barisan Jemaah Menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum sesi pemukiman bermula.
Anwar bersama barisan Jemaah Menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum sesi pemukiman bermula.
A
A
A

CYBERJAYA - Strategi dan hala tuju kerajaan bagi tahun ini merupakan fokus utama program pemukiman Jemaah Menteri yang berlangsung selama dua hari bermula Rabu.

Jabatan Perdana Menteri menerusi kenyataan memaklumkan program itu juga bertujuan bagi mencapai pejajaran matlamat serta mewujudkan rasa kebersamaan dan kesatuan di dalam kalangan anggota Jemaah Menteri terhadap pelan tindakan kerajaan yang bersepadu dan tuntas berteraskan konsep 'whole of government dan 'whole of nation'.

Program permukiman kali ini juga membawa matlamat untuk memantapkan sinergi dan kerjasama antara Jemaah Menteri bersama kepimpinan perkhidmatan awam serta memberdaya iltizam dalam melaksanakan pelan-pelan tindakan tersebut untuk merealisasikan aspirasi Ekonomi Madani.

Beberapa sesi wacana dan forum yang melibatkan pakar-pakar dari sektor awam, sektor swasta, industri dan organisasi antarabangsa turut diadakan.

"Perkara-perkara yang dibincangkan mencakupi aspek-aspek penting termasuk cabaran dan hala tuju ekonomi, kebajikan dan keselamatan sosial, pembangunan infrastruktur dan kemampanan, tadbir urus, inovasi dan komunikasi ke arah kemakmuran negara," kata jabatan itu.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Cyberview Resort and Spa bagi menghadiri pemukiman tersebut.

Ketibaan beliau yang juga Menteri Kewangan jam 2.40 petang disambut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Pada Selasa lalu, Anwar berkata, pemukiman itu juga akan meneliti pelaksanaan dasar-dasar yang telah dilancarkan kerajaan sepanjang tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Sesi pemukiman pertama Perdana Menteri bersama Jemaah Menteri berlangsung di Putrajaya pada Jan tahun lepas antara lain membincangkan soal hala tuju dan penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) setiap kementerian dalam Kerajaan Perpaduan.