Pensijilan myGAP Menjamin Kelestarian Pertanian Negara

No Image Caption
A
A
A

Adakah anda pernah dengar atau tahu tentang myGAP?

myGAP atau lebih dikenali sebagai Amalan Pertanian Baik Malaysia merupakan skim pensijilan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bertujuan untuk mengiktiraf ladang yang melaksanakan amalan pertanian baik. Pensijilan ini merangkumi tiga (3) subsektor iaitu tanaman, ternakan dan akuakultur.

Menerusi pensijilan ini, konsep Amalan Pertanian Baik (Good Agricultural Practices (GAP)) diutamakan iaitu memastikan hasil pertanian adalah selamat untuk dimakan, menghasilkan produk yang berkualiti, pengurusan ladang yang berkesan, mesra alam serta menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja.

Tiga (3) badan pensijilan yang bertanggung jawab meluluskan permohonan myGAP adalah Jabatan Pertanian (DOA) bagi subsektor tanaman, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) bagi subsektor ternakan dan Jabatan Perikanan (DOF) bagi subsektor akuakultur.

Pengiktirafan terhadap ladang yang mengamalkan GAP telah diguna pakai di peringkat global dengan menggunakan akronim GAP. Contohnya GLOBALG.A.P, ChinaGAP, NZGAP, IndiaGAP, KenyaGAP, JGAP, ThaiGAP, PhilGAP, IndoGAP dan di Malaysia ianya dikenali sebagai myGAP. Mengapa GAP penting?

-Melindungi kesihatan pengguna;

-Memelihara alam sekitar;

-Memudahkan akses produk pertanian ke pasaran antarabangsa; dan

Artikel Berkaitan:

-Produk pertanian mudah dikenali dan mampu bersaing di pasaran domestik dan antarabangsa.

Siapakah yang layak memohon pensijilan myGAP?

Terdapat tiga (3) kategori pemohon yang layak iaitu:

-Persendirian;

-Syarikat Swasta; dan

-Agensi/Badan Berkanun

Namun, sebelum anda memohon pensijilan ini, sila pastikan supaya syarat-syarat pensijilan telah dipatuhi iaitu:

-Ladang beroperasi di tanah atau tapak yang sah hak milik;

-Ladang telah mengeluarkan hasil; dan

-Hasil ladang adalah untuk pasaran domestik atau antarabangsa.

Bagaimanakah untuk memohon Sijil myGAP bagi Subsektor Tanaman?

Langkah pertama adalah, permohonan perlu dikemukakan kepada Pejabat Pertanian Daerah yang berhampiran dengan anda.

Kemudian, Pegawai Jabatan Pertanian akan melaksanakan pemeriksaan dan pengauditan ke atas ladang milik pemohon untuk memastikan pematuhan terhadap syarat yang ditetapkan berdasarkan kepada garis panduan dan peraturan yang berkaitan.

Seterusnya, sampel hasil akan diambil untuk dianalisis di makmal bagi mengesan kehadiran atau tahap residu racun perosak dalam produk hasil dari ladang berkenaan.

Hanya ladang yang lulus pengauditan dan analisis sampel sahaja yang akan mendapat pensijilan myGAP dengan tempoh sah laku sijil selama dua (2) tahun. Bagi pensijilan yang akan tamat tempoh, permohonan pembaharuan perlu dikemukakan kepada DOA sekurang-kurangnya enam (6) bulan sebelum tamat tempoh sah laku sijil tersebut.

Pembatalan Sijil myGAP

Badan pensijilan berhak membatal atau menarik semula Sijil myGAP anda sekiranya didapati melakukan tiga (3) kesalahan berikut:

-Tidak memperbaharui sijil setelah tamat tempoh;

-Ladang itu didapati gagal mematuhi syarat yang ditetapkan dalam tempoh pensijilan berkuat kuasa; dan

-Menyalahgunakan sijil dan logo myGAP dalam apa jua cara.

Mengapakah Perlu Ada Sijil myGAP?

Pensijilan myGAP menawarkan pelbagai faedah kepada pengeluar produk pertanian, alam sekitar, pengguna dan keselamatan pekerja. Antaranya adalah:

-Mengeluarkan hasil ladang yang selamat dan berkualiti;

-Menyumbang kepada kelestarian alam;

-Pengurusan ladang yang lebih cekap;

-Produktiviti dan pengeluaran meningkat;

-Meningkatkan peluang untuk ke pasaran eksport;

-Boleh menggunakan logo myGAP dan nombor pensijilan myGAP bagi tujuan promosi hasil ladang dan meningkatkan keyakinan pengguna;

-Keselamatan dan kebajikan pekerja terjaga;

-Penjimatan dengan menggunakan sumber dari dalam ladang sebagai bahan pembajaan; dan

-Penggunaan racun makhluk perosak yang kurang dan menjimatkan kos.

Jadi, tunggu apa lagi. Untuk maklumat lanjut mengenai pensijilan myGAP tanaman, anda boleh layari laman sesawang www.doa.gov.my.