'Enggan ambil laporan kesalahan serius' - Ketua Polis KL

Allaudeen
Allaudeen
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keengganan mengambil laporan adalah salah laku yang serius, tegas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid.

Menurutnya, semua Ibu Pejabat Daerah (IPD) dan balai di ibu kota perlu menghentikan tindakan terbabit atau berdepan tindakan disiplin.

"Keengganan mengambil laporan adalah salah laku amat serius. Kalau orang datang ke balai buat laporan apa sekali pun, ia perlu diterima oleh anggota bertugas dan seterusnya kes akan diklasifikasi oleh pegawai tertentu.

"Dalam kes ini, kita sudah kenal pasti anggota yang enggan mengambil laporan dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Kuala Lumpur juga sedang melakukan siasatan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan kes pemerasan melibatkan empat anggota polis di hadapan Kompleks Pangsapuri, Kepong, di sini pada 4 Januari lalu.

Seorang lelaki tempatan mendakwa empat anggota polis meminta wang RM10,000 di parkir kompleks Pangsapuri Kepong pada 23 Disember lalu.

Mengulas lanjut, kata Allaudeen, pihak polis tidak berkompromi dengan sebarang tindakan yang melanggar disiplin.

"Saya nak ingatkan semua IPD dan balai di Kuala Lumpur ini, hentikan tindakan yang tidak masuk akal ini. Tidak ada situasi pun untuk anda enggan menerima laporan," katanya.

Artikel Berkaitan: