ASP antara 366 polis Selangor terlibat salah laku, jenayah

Hussein
Hussein
A
A
A

KLANG - Pegawai kanan berpangkat Asisten Superintenden antara 366 pegawai dan anggota polis di Selangor yang diambil tindakan termasuk gantung, tahan serta dibuang kerja disebabkan pelbagai kesalahan sejak Januari hingga September lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya memandang serius kadar yang dicatatkan itu biarpun ia hanya melibatkan jumlah kecil berbanding keseluruhan keanggotaan di negeri ini iaitu sebanyak 15,000 anggota dan pegawai.

"Berdasarkan rekod, seramai 300 anggota dan 19 pegawai kanan polis di negeri ini didapati terlibat dalam pelbagai kesalahan tatatertib setakat ini.

"Selain itu, seramai 45 anggota dan dua pegawai kanan polis telah selesai dituduh di mahkamah melibatkan kesalahan jenayah antaranya rasuah, dadah dan pelbagai lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Latihan Ops Ex-Ganjar di Pelabuhan Klang di sini pada Rabu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Keselamatan Strategik), Datuk Baharuddin Ahmad dan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi.

Hussein berkata, jumlah tersebut bagaimanapun mencatatkan penurunan berbanding kesalahan jenayah dan tatatertib pada tahun lepas iaitu seramai 576 anggota dan pegawai.

"Statistik 2022 merekodkan seramai 445 anggota dan 17 pegawai kanan polis dikenakan tindakan tatatertib manakala 112 anggota dan dua pegawai dikenakan tindakan atas kesalahan jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Antara tindakan diambil termasuk ditahan, digantung serta dibuang kerja," katanya.

Menurutnya, pihaknya sama sekali tidak berkompromi dengan mana-mana salah laku atau jenayah melibatkan anggota dan pegawai polis di negeri ini.

"Tiada ruang dan peluang buat anggota dan pegawai polis lakukan kesalahan, sekiranya ada memang kita akan ambil tindakan tegas.

"Lakukan lah tugas dengan jujur dan amanah seperti mana yang dipertanggungjawabkan," katanya.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan seramai 804 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dikenakan hukuman tatatertib sejak Januari hingga Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, daripada jumlah itu seramai 69 pegawai dan anggota PDRM telah dikenakan tindakan dibuang kerja.

Menurutnya, dalam tempoh sama, seramai 611 pegawai dan anggota ditahan kerja manakala 173 telah digantung kerja.

"Sebanyak 2,354 kertas siasatan tatatertib telah dibuka sejak Januari hingga Ogos lalu.

"Data hukuman tatatertib itu menunjukkan bahawa ketegasan dalam mengambil tindakan terhadap salah laku warga PDRM bukanlah retorik semata-mata," jelasnya.