Laluan WCE Beruas-Taiping dibuka sebelum raya

Saarani (tiga dari kanan) mendengar penerangan daripada Nadzrol Fadzilah (tengah) ketika lawatan kerja beliau ke Projek WCE Jajaran Seksyen 11 (Beruas -Taiping Selatan) pada Rabu.
Saarani (tiga dari kanan) mendengar penerangan daripada Nadzrol Fadzilah (tengah) ketika lawatan kerja beliau ke Projek WCE Jajaran Seksyen 11 (Beruas -Taiping Selatan) pada Rabu.
A
A
A

TAIPING - Jajaran Seksyen 11 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) sejauh 35.5 kilometer yang menghubungkan Beruas ke Taiping Selatan dijangka dibuka menjelang Hari Raya Aidilfitri, April ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Dr Nadzrol Fadzilah Ahmad berkata, pemeriksaan menyeluruh terutama daripada aspek keselamatan sedang dilaksanakan sebelum ia dibuka kepada pengguna lebuh raya.

Menurutnya, LLM bagaimanapun berusaha untuk membuka laluan berkenaan lebih awal seperti yang diharapkan kerajaan Perak.

"Kita ada usaha untuk buka laluan ini pada Tahun Baru Cina tetapi kita tidak boleh sahkan ia dapat dibuka sebelum perayaan berkenaan kerana masih tertakluk kepada faktor keselamatan.

"Tetapi kalau suku tahun pertama saya rasa tidak akan sampai bulan April kerana kita ada keyakinan tinggi ia akan dibuka sebelum Aidilfitri," katanya kepada pemberita sempena Lawatan Kerja Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama Exco Kerajaan Negeri Perak ke Projek WCE Jajaran Seksyen 11 di Changkat Jering dekat sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings Berhad, Lyndon Alfred Felix.

Sementara itu, Saarani berkata, lebuh raya itu penting kerana bakal menjadi laluan strategik bagi memperluas jaringan pengangkutan.

Saarani (dua dari kiri) bersama Lyndon Alfred Felix ketika lawatan kerja beliau ke Projek WCE Jajaran Seksyen 11 (Beruas -Taiping Selatan) pada Rabu.
Saarani (dua dari kiri) bersama Lyndon Alfred Felix ketika lawatan kerja beliau ke Projek WCE Jajaran Seksyen 11 (Beruas -Taiping Selatan) pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

"Bukan sahaja antara pekan dan daerah tetapi juga keterhubungan Perak dengan pusat-pusat pertumbuhan ekonomi - bermula dari Pelabuhan Klang, Pelabuhan Lumut dan Pelabuhan Pulau Pinang.

"Ia penting kerana menjadi pemangkin kepada perancangan Perak dalam memacu pertumbuhan sosioekonomi di sepanjang jajaran pantai barat selain mengubah landskap pelancongan negeri dengan memudahkan akses ke destinasi-destinasi strategik seiring dengan kempen Tahun Melawat Perak 2024," katanya.

Tambah beliau, dengan pembukaan lebuh raya itu, ia akan menjadi laluan alternatif kepada pengguna untuk ke kawasan pantai barat seperti Teluk Intan, Manjung, Pulau Pangkor, Beruas, Trong, Changkat Jering dan Taiping.

Lebuhraya WCE merupakan sebuah projek infrastruktur negara yang dilaksanakan secara penswastaan yang menghubungkan Taiping, Perak dan Banting, Selangor dengan jarak keseluruhan 233 kilometer.

Sehingga kini, lima daripada keseluruhan sebelas seksyen pembinaan lebuh raya ini telah dibuka kepada trafik iaitu Seksyen 5 (Klang-Kapar) dan Seksyen 6 (Kapar-Assam Jawa) di Selangor manakala Seksyen 8 (Hutan Melintang-Teluk Intan), Seksyen 9 (Kampung Lekir-Changkat Cermin) dan Seksyen 10 (Changkat Cermin-Beruas) di Perak.

Seksyen 11 (Beruas-Taiping Selatan) merupakan pelengkap kepada jajaran Lebuhraya WCE di bahagian laluan negeri Perak kini berada di fasa akhir sebelum dibuka kepada trafik.