Pengarah, penerbit Mentega Terbang didakwa hina agama

Mohd Khairianwar (kiri) dan Meng Kheng (kanan) yang hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi masing-masing satu pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain, pada Rabu.
Mohd Khairianwar (kiri) dan Meng Kheng (kanan) yang hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi masing-masing satu pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain, pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Penerbit dan Pengarah filem kontroversi, Mentega Terbang mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini pada Rabu, masing-masing atas satu pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain, Februari tahun lalu.

Penerbit, Tan Meng Kheng, 37, dan pengarah, Mohd Khairianwar Jailani, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Noorelynna Hanim Abd Halim dan Aina Azahra Arifin.

Mengikut pertuduhan, Meng Kheng dan Mohd Khairianwar yang juga penulis skrip filem itu, didakwa dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain menerusi perkataan dan visual.

Meng Kheng hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dengan memakai kot berwarna hitam, bagi menghadapi satu pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain, pada Rabu.
Meng Kheng hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dengan memakai kot berwarna hitam, bagi menghadapi satu pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain, pada Rabu.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Semarak Api 2, di sini, pada jam 12.34 tengah hari, 26 Februari 2023.

Mereka yang hadir dengan memakai kot berwarna hitam, didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama setahun, atau denda, atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling mencadangkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan mengenakan perintah larang suara mengenai intipati kes ini sehingga selesai.

“Pihak pendakwaan mahu kes ini diadili di mahkamah bukannya diperbahaskan oleh masyarakat di laman sosial kerana dikhuatiri boleh mengganggu prosiding kes.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, mereka diminta melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya yang mengendalikan kes itu bersama Timbalan Pendakwa Raya, Abd Malik Ayob serta Nadia Mohd Izhar.

Bagaimanapun, peguam, N Surendran yang mewakili kedua-dua tertuduh, membantah cadangan pihak pendakwaan dengan alasan, ikat jamin yang berkenaan disifatkan terlampau tinggi.

"Saya juga tidak bersetuju dengan perintah larangan untuk membuat sebarang kenyataan kerana syarat itu tidak asas mengikut bidang kuasa mahkamah,” katanya.

Selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak, Mohd Khairianwar dibenarkan ikat jamin RM6,000 dengan masing-masing seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan, sementara jaminan untuk Meng Kheng ialah sebanyak RM6,500.

Kedua-dua tertuduh ini turut dilarang mengeluarkan kenyataan berkaitan kes yang dipertuduhkan sehingga kes tersebut dilupuskan.

Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan 14 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan, platform penstriman Viu menghentikan tayangan Mentega Terbang pada 27 Februari tahun lalu.

SKMM menjelaskan, walaupun tidak mempunyai kuasa menapis filem dan drama televisyen kerana tidak berada di bawah bidang kuasanya, suruhanjaya itu sudah menghubungi Viu sebelum mengesahkan penamatan filem berkenaan.

Pembikinannya dikatakan menyentuh perbezaan dan persamaan agama-agama utama di Malaysia, telah mendapat kritikan orang ramai dan penggiat seni.

Filem Mentega Terbang arahan Mohd Khairi Anwar Jailani ini diterbitkan Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment dengan menampilkan pelakon Syumaila Salihin, Firdaus Karim, Nik Waheeda, Arjun Thanaraju, Khairunazwan Rodzy, Shyamala Kandapper dan Jesebel Lee.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) kemudiannya mengharamkan filem itu pada 1 September tahun lalu, yang mana kedua-dua lelaki terbabit mendakwa ia satu tindakan tidak rasional yang melanggar kebebasan bersuara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ditayangkan menerusi platform penstriman, filem berdurasi 104 minit itu mengisahkan 'konflik keagamaan' yang dihadapi seorang remaja beragama Islam bernama Aisyah, yang mempelajari agama lain terutama dalam mencari jawapan kepada persoalan hidup selepas mati.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapati filem itu secara jelas bertentangan dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.