Lelaki kemurungan ditahan pandu lori lawan arus 1km

Polis menahan seorang lelaki kerana memandu lori secara melawan arus di Kilometer 15, Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan), pada Sabtu. Gambar hiasan
Polis menahan seorang lelaki kerana memandu lori secara melawan arus di Kilometer 15, Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan), pada Sabtu. Gambar hiasan
A
A
A

KULAI - Polis menahan seorang lelaki kerana memandu lori secara melawan arus di Kilometer 15, Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan), pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee berkata, lelaki berusia 31 tahun terbabit didapati memandu sedemikian hingga sejauh satu kilometer dari Plaza Tol Skudai, dalam insiden kira-kira jam 11.30 pagi itu.

"Bagaimanapun tiada kemalangan jalan raya berlaku semasa kejadian. Pemeriksaan ke atas pemandu lori itu mendapati dia mengalami masalah kesihatan iaitu kemurungan.

"Selain itu ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu bebas penyalahgunaan dadah dan pengaruh alkohol," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Seng Lee memohon mengesan waris kemalangan jalan raya membabitkan warga Myanmar di Jalan Senai-Seelong, di sini pada Isnin.

Menurutnya, mangsa lelaki dikenali sebagai Clement Pho Kwar, 30, yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

"Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, menerima laporan kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Honda.

Artikel Berkaitan:

"Hasil siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar tembok kiri jalan sehingga terbabas ke bahu jalan. Mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim namun masih belum dituntut waris. Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) APJ 1987," ujar beliau.