Isu tanah mendap di kuarters guru selesai tiga hingga enam bulan lagi - Exco

Mendapan tanah duarters Sekolah Bandar 2 Paloh Hinai, Pekan yang berlaku pada 7 Januari lalu. Foto ihsan polis Pekan (Gambar kecil: Mohammad Fakhruddin)
Mendapan tanah duarters Sekolah Bandar 2 Paloh Hinai, Pekan yang berlaku pada 7 Januari lalu. Foto ihsan polis Pekan (Gambar kecil: Mohammad Fakhruddin)
A
A
A

KUANTAN - Isu tanah mendap di kuarters Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar 2 Paloh Hinai, Pekan yang berlaku 7 Januari lalu akan diselesaikan dalam tempoh tiga hingga enam bulan lagi.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, jangkaan itu dibuat selepas wakil dari Bahagian Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang melakukan pemeriksaan di tapak kuarters berkenaan pada 9 Januari lalu.

Menurutnya, laporan lengkap berhubung perkara terbabit akan dikemukakan dalam masa terdekat dan ia merangkumi kaedah pembaikan serta anggaran kos.

"Untuk anggaran kos akan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan negeri.

"Ia mengambil sedikit masa kerana kita hendak memastikan kerja baik pulih dan penyelidikan berkaitan punca kejadian tanah mendap dapat diketahui dengan jelas.

"Kalau kita buat secara tergesa-gesa, kita bimbang akan baik pulih benda yang tak sepatutnya," katanya ketika mengadakan sidang akhbar di sebuah hotel, di sini pada Selasa.

Dalam kejadian 7 Januari lalu, bangunan kuarters empat tingkat sekolah terbabit diarah dikosongkan susulan kejadian tanah mendap berhampiran kuarters itu.

Seramai lapan keluarga membabitkan 24 penghuni dipindahkan sementara di asrama sekolah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mohammad Fakhruddin berkata, pihak JKR sudah melebarkan longkang di sekitar kuarters terbabit serta aliran air turut dilencongkan dari kawasan tanah mendap ke sistem saliran sedia ada.

"Ini antara langkah penyelesaian jangka pendek sementara kerja baik pulih kesan mendapan boleh dilakukan.

"Jadi, semua penghuni kuarters itu masih ditempatkan dalam kawasan sekolah. di asrama sekolah berkenaan," ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai Jambatan Bailey di jalan Kuantan - Segamat, beliau menjelaskan ia sudah siap 80 peratus dan dijangka boleh digunakan dalam masa terdekat.

"Pemasangan Bailey itu hampir selesai dan kita sekarang dalam buat kerja kerja jalan. Maksudnya apabila jambatan itu sudah siap mesti ada laluan menuju ke jambatan itu

"Jalan telah hanya siap 'crusher-run', tapi cuaca tidak mengizinkan untuk pasang 'pre-mix. Jika cuaca telah kering sedikit kita boleh premix, insya-ALLAH kita akan buka dalam masa," katanya.