Harimau Malaya mampu lonjak ranking lebih tinggi

Harimau Malaya perlu terus konsisten dalam setiap perlawanan untuk meningkatkan ranking.
Harimau Malaya perlu terus konsisten dalam setiap perlawanan untuk meningkatkan ranking.
A
A
A

PASUKAN Harimau Malaya diyakini mampu untuk mencapai sasaran ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk berada dalam ranking kelompok 120 pasukan terbaik dunia penghujung tahun ini.

Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin berkata, skuad negara perlu konsisten mencatat keputusan positif dalam setiap perlawanan yang dihadapi sekali gus memungut mata penting dalam pengiraan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Menurutnya, peningkatan ranking yang dipamerkan skuad negara sejak Kim Pan-gon mengambil alih pasukan juga menunjukkan petanda yang baik untuk terus melonjak.

"Tidak mustahil untuk kita mencapai sasaran dan melonjakkan lagi ranking tersebut dengan syarat kita perlu terus menentang pasukan yang kuat kerana mata ranking yang diperolehi akan tinggi.

"Ada dua lagi aksi persahabatan kalendar FIFA tahun ini dan kita akan hadapi Pestabola Merdeka menjadi platform untuk memungut mata kerana pasukan yang menyertai kejohanan itu juga agak kuat selain meraih keputusan positif pada aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November.

"Namun, dalam prestasi semasa yang dipamerkan, saya tidak nampak kesukaran untuk Harimau Malaya capai ranking 120 itu penghujung tahun ini dan mungkin akan berada di ranking lebih baik dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi," katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Skuad negara berjaya naik dua anak tangga daripada kedudukan ke-136 dunia kepada 134 dunia dalam kemas kini terbaharu ranking FIFA pada Khamis.

Ia selepas Harimau Malaya berjaya meraih keputusan positif dalam dua aksi persahabatan di Chengdu China apabila seri 2-2 dengan Syria dan 1-1 dengan tuan rumah.

Artikel Berkaitan:

Peningkatan itu juga konsisten sejak Pan-gon mengambil alih pasukan pada Januari tahun lalu dengan lonjakan daripada kedudukan ke-154 ke 134 iaitu sebanyak 20 anak tangga.

Selepas ini, skuad negara akan menghadapi saingan Pestabola Merdeka yang akan disertai India, Palestin dan Tajikistan.

Selain itu, Harimau Malaya akan menghadapi saingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November depan selepas diundi dalam Kumpulan D bersama Oman, Kyrgyzstan dan pasukan yang menang perlawanan pusingan pertama antara Taiwan atau Timor Leste.

Dalam pada itu, Sulaiman juga menilai Pan-gon dan FAM bijak dalam mengatur strategi meningkatkan ranking pasukan negara.

"Kalau kita tengok sebelum ini, Pan-gon menumpukan untuk lawan pasukan yang lemah sebelum mula lawan pasukan kuat.

"Ia penting untuk kita dapatkan keyakinan dengan meraih kemenangan. Apabila kita mula catat kemenangan walaupun dengan pasukan lemah, tetapi itu memberikan semangat dan keyakinan kepada pemain.

"Selain itu, Pan-gon tahu pasukan negara perlu naik ranking dahulu sebab itu lawan pasukan lemah. Ia bagi memastikan pasukan kuat sudi untuk jumpa pasukan kita seperti China dan Syria baru-baru ini," katanya.