Tambang bas sekolah naik jangan sampai bebankan ibu bapa

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

NAMPAKNYA bukan sahaja harga barangan mentah dan makanan semakin meningkat, malah tambang bas sekolah juga bakal naik dan pastinya memeningkan ibu bapa untuk menampung perbelanjaan yang semakin besar.

Perkara itu disahkan sendiri Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia yang menjangkakan tambang bas sekolah bagi sesi persekolahan penggal baharu pada Mac ini akan meningkat.

Presidennya, Amali Munif Rahmat berkata, kenaikan itu berlaku berikutan pertambahan kos operasi dan penyelenggaraan jentera terutama di kawasan bandar khususnya Lembah Klang.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya tidak pasti berapa kadar kenaikan tambang itu kerana ia berbeza mengikut operator dengan mengambil kira margin perniagaan dan situasi semasa.

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) menerima maklum balas daripada pelbagai pihak berhubung cadangan kenaikan kadar tambang bas sekolah bagi sesi persekolahan penggal baharu pada Mac depan, namun belum terdapat apa-apa keputusan mengenainya setakat ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Hasbi Habibollah berkata, perkara itu perlu dikaji terlebih dahulu kerana ia melibatkan pelbagai pihak terutamanya ibu bapa.

Jelasnya, pada masa ini juga tiada perbincangan lanjut dengan mana-mana persatuan atau pengusaha bas sekolah.

Penulis yakin majoriti ibu bapa khususnya yang mempunyai ramai anak pasti tidak bersetuju dan mahukan kadar tambang bas sekolah kekal seperti sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Mungkin kenaikan pada kadar paling minimum seperti RM5 masih boleh diterima, namun jika jumlah RM10 hingga RM20 seperti digembar-gemburkan itu sangatlah tinggi.

Diharap pihak yang bertanggungjawab dapat membantu menyelesaikan kemelut ini dengan memberi situasi menang-menang antara pengusaha bas sekolah dengan ibu bapa.