Mayat lelaki ditemukan di tali air

Anggota bomba mengangkat seorang mayat lelaki yang ditemui terapung di tali air Kampung Tetambah, Manir hari ini. Foto Bernama
Anggota bomba mengangkat seorang mayat lelaki yang ditemui terapung di tali air Kampung Tetambah, Manir hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mayat seorang lelaki ditemukan di sebatang tali air di Kampung Tetambah, Manir dekat sini hari ini.

Mayat Syed Mohd Azmi Sikh Ismail ditemukan sekumpulan penduduk kampung yang sedang mencari kepah di kawasan terbabit kira-kira jam 4.45 petang tadi.

Adik perempuan mangsa, Syarah Sikh Ismail, 22, berkata, mangsa berusia 39 tahun yang merupakan anak sulung daripada tujuh beradik keluar rumah petang Sabtu lepas untuk memancing.

Bagaimanapun pada hari itu mangsa tidak pulang ke kediaman keluarga mereka di Kampung Pujuk di sini.

"Walaupun abang tidak pulang kami tidak syak apa-apa kerana arwah biasa keluar memancing dan pulang lewat malam atau keesokan harinya.

"Malah semalam (Ahad) ada penduduk kampung yang terserempak dengannya. Kami ingatkan dia baik-baik saja...tak sangka perkara buruk telah menimpanya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Syarah berkata, dia dimaklumkan mengenai penemuan mayat abangnya oleh orang kampung melalui pesanan WhatsApp.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk tindakan lanjut.