Tukang masak maut ketika pulang kerja

Keadaan kereta Perodua Viva dipandu mangsa. Foto ihsan polis
Keadaan kereta Perodua Viva dipandu mangsa. Foto ihsan polis
A
A
A

TAMPIN - Perjalanan seorang tukang masak pulang ke rumah bertukar tragedi selepas kereta Perodua Viva dipandu dirempuh kereta lain yang masuk ke laluannya di Jalan Selekoh Kilometer 2.5 Jalan Gemas - Tampin di sini pada Ahad.

Kejadian jam 4.15 petang itu berlaku ketika mangsa wanita berusia 62 tahun dalam perjalanan dari Pekan Gemas ke rumahnya di Taman Sentosa.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, hasil siasatan awal mendapati, sebaik sampai di lokasi, kereta dipandu mangsa telah dilanggar sebuah Proton Persona dari arah bertentangan.

"Kereta mangsa dikatakan telah dilanggar di bahagian hadapan dan akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kereta Perodua Viva dipandu mangsa dilanggar Proton Persona dari arah bertentangan. Foto ihsan polis
Kereta Perodua Viva dipandu mangsa dilanggar Proton Persona dari arah bertentangan. Foto ihsan polis

"Pemandu Proton Persona berusia 44 tahun turut mengalami cedera parah dan dibawa ke Hospital Segamat untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Forensik Hospital Tampin untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan tersebut diminta tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin atau hubungi talian 06-4412502 atau 06-4431999 Bilik Gerakan IPD Tampin bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan," katanya.