Tiga mengaku palsukan dokumen kurangkan duti kereta mewah

Ketiga-tiga tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Alor Setar pada Isnin untuk diikat jamin.
Ketiga-tiga tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Alor Setar pada Isnin untuk diikat jamin.
A
A
A

ALOR SETAR - Tiga lelaki mengaku bersalah atas dakwaan menggunakan dokumen palsu mengurangkan duti kereta mewah dan mengakibatkan ketirisan cukai kerajaan membabitkan jutaan ringgit di Langkawi.

Tertuduh, Mohd Noh Hussain, 47; Mohd Khairol Suberi, 36 dan Fairul Ismazi Ishak, 48, membuat pengakuan tersebut semasa pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah di Mahkamah Alor Setar, di sini pada Isnin.

Mohd Noh dari Kuah, Langkawi didakwa atas dua pertuduhan pilihan iaitu menggunakan surat akaun palsu bertarikh 6 Mei 2014 dan menggunakan borang kastam palsu di Pejabat Kastam Daerah Langkawi, Dermaga Tanjung Lembung di Langkawi pada 21 Mei 2014 dan 1 Jun 2021.

10 lagi pertuduhan pilihan ke atas Mohd Noh pula membabitkan dokumen palsu dipertimbangkan sebagai 'take into consideration' (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Sementara itu, Mohd Khairol yang bekerja sebagai ‘runner’ didakwa atas dua pertuduhan menggunakan Borang Kastam Perisytiharan Barang-barang Yang Diimport palsu di Pejabat Kastam Daerah Langkawi, Dermaga Tanjung Lembung di Langkawi pada 27 April 2021 serta antara 21 April dan 22 April 2021.

Fairul Ismazi yang bekerja sendiri pula didakwa menggunakan Borang Kastam Perisytiharan Barang-barang Yang Diimport palsu di lokasi sama, pada 22 November 2021.

Kelima-lima pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Mohd ‘Afif Ali.

Artikel Berkaitan:

Peguam Quah Chien Chieh dan Mohd Hakim Hamran yang mewakili semua tertuduh telah memohon kepada hakim untuk mengurangkan jumlah denda selepas mereka memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sepanjang siasatan dijalankan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan keputusan hukuman akan dijatuhkan pada Selasa dan membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin.

Mohd Noh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin manakala Mohd Khairol RM10,000 dengan seorang penjamin dan Fairul Ismazi diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pada Sabtu, media melaporkan enam ahli sindiket mengurangkan duti kereta mewah yang mengakibatkan ketirisan cukai kerajaan sehingga lebih RM33 juta akan didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah pada 15 dan 16 Januari.

Kesemua suspek yang merupakan pengusaha dan runner perkhidmatan gudang sita penyimpanan kereta mewah di Pulau Langkawi, sebelum ini ditahan menerusi satu operasi khas yang dijalankan SPRM pada Julai 2023.