SPRM bongkar sindiket kurangkan duti kereta mewah di Langkawi

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Enam ahli sindiket mengurangkan duti kereta mewah yang mengakibatkan ketirisan cukai kerajaan sehingga lebih RM33 juta, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah, pada 15 dan 16 Januari ini.

Kesemua suspek yang merupakan pengusaha dan runner perkhidmatan gudang sita penyimpanan kereta mewah di Pulau Langkawi, sebelum ini ditahan menerusi satu operasi khas yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Julai 2023.

Sumber memberitahu, keenam-enam suspek akan menghadapi lebih 21 pertuduhan di bawah Seksyen 468 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

‘’Operasi dijalankan SPRM susulan isu terkurang kutipan duti kastam sepanjang 2012 hingga 2021 di Pulau Langkawi yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2022 (LKAN 2022).

‘’LKAN 2022 menyebut bahawa terdapat unsur ketirisan lebih RM72 juta dalam pengutipan duti kastam melibatkan lebih 100 kenderaan mewah pelbagai jenama antaranya seperti Lamborghini, Ferrari, Porsche, Bentley, McLaren dan Rolls Royce,’’ katanya pada Sabtu.

Tambahnya, susulan LKAN 2022 itu, SPRM telah menjalankan satu operasi khas yang dipanggil ‘Op Eagle’ dan mengesan terdapat sindiket yang bersubahat dengan pemilik kereta mewah yang mahukan pengecualian dan pengurangan duti kastam walaupun sebenarnya mereka tidak layak.

‘’Sindiket ini telah menggunakan surat akuan sumpah atas nama pemilik kenderaan yang palsu sebagai tulen kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

‘’Menerusi operasi itu juga, SPRM turut mengesan unsur ketirisan dan salah laku rasuah di Pusat Bebas Cukai (PBC) seterusnya menjejak semula 100 kereta mewah yang disyaki mengelak daripada dikenakan duti kastam,’’ ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, menerusi operasi khas fasa pertama yang dijalankan di Johor dan Sabah sekitar Julai tahun lalu, SPRM berjaya menyita sembilan kereta mewah pelbagai jenama dianggarkan bernilai lebih RM12 juta.

Hasil operasi itu juga, SPRM berjaya menumpaskan satu sindiket mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah yang mengakibatkan ketirisan cukai kerajaan sehingga RM33 juta selain turut menahan seramai tujuh individu.

SPRM juga sedang menyiasat pemilik-pemilik kenderaan di bawah kesalahan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) kerana memilik serta melupuskan hasil kegiatan jenayah serius ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan kesemua suspek akan didakwa di bawah kesalahan Seksyen 468 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Katanya, SPRM juga sedang menyiasat pemilik-pemilik kenderaan di bawah kesalahan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) kerana memilik serta melupuskan hasil kegiatan jenayah serius ini. - Awani