BMW langgar dua kenderaan lain sebelum terjunam

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah kereta yang jatuh dari tingkat tiga sebuah bangunan dekat Setia Alam dalam kejadian pada Sabtu dipercayai hilang kawalan dan merempuh dua lagi kenderaan sebelum terjunam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

"Siasatan mendapati kereta jenis BMW itu hilang kawalan dan melanggar dua buah kenderaan lain iaitu Perodua Myvi dan Proton Persona di ruangan parkir di tingkat tiga bangunan terbabit.

"Kejadian mengakibatkan kenderaan dipandu seorang lelaki berumur 41 tahun itu melanggar tembok penghadang di ruangan berkenaan sebelum terjatuh," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-31215697," katanya.

Pada Sabtu, sebuah kereta dipercayai hilang kawalan sebelum terjatuh dari tingkat tiga sebuah bangunan di Setia Alam dekat sini.

Kejadian bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kehilangan jiwa dan pemandu berkenaan yang mengalami kecederaan ringan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan.

Artikel Berkaitan: