Sindiket judi berselindung di sebalik kedai runcit, telefon tumpas

Premis perniagaan yang didakwa menjalankan aktiviti perjudian dalam daerah Kuantan (Foto Polis Kuantan)
Premis perniagaan yang didakwa menjalankan aktiviti perjudian dalam daerah Kuantan (Foto Polis Kuantan)
A
A
A

KUANTAN - Sindiket perjudian haram di daerah ini dikesan menggunakan premis perniagaan seperti kedai runcit dan kedai telefon bagi menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang.

Itu antara premis yang didapati telah menjalankan operasi perjudian haram selepas pihak polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Ibu Pejabat Kontinjen Pahang dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuantan menjalankan OP Dadu di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, premis perniagaan itu digunakan bagi memudahkan pelanggan berurusan dengan ejen atau operator perjudian.

Wan Mohd Zahari
Wan Mohd Zahari

Menurutnya, hasil serbuan itu, seramai 21 individu ditahan dalam operasi membanteras aktiviti perjudian di 21 lokasi berasingan di daerah ini.

"Daripada jumlah berkenaan seramai 11 suspek merupakan lelaki dan selebihnya suspek wanita telah ditahan.

"Kesemua suspek berusia 17 hingga 52 tahun itu telah direman bermula hari ini sehingga 16 Januari ini," katanya pada Ahad.

Barang kes yang dirampas dalam serbuan yang dilakukan (Foto Polis Kuantan)
Barang kes yang dirampas dalam serbuan yang dilakukan (Foto Polis Kuantan)

Artikel Berkaitan:

Wan Mohd Zahari memaklumkan polis berjaya merampas pelbagai jenis telefon bimbit, mesin pencetak dan wang tunai berjumlah RM5,319.

Tambahnya, semua suspek berdepan tindakan mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.